
ARLINGTON, Amerika Syarikat: Erling Haaland disifatkan sebagai pemain yang “menggerunkan” dan “penjaring gol terbaik dunia” selepas menjaringkan gol kemenangan dramatik buat Norway pada aksi Piala Dunia, pada perlawanan 1.00 pagi tadi (waktu Malaysia).
Penyerang Manchester City itu tidak banyak menyerlah sepanjang perlawanan di Stadium Dallas, namun muncul pada saat genting apabila menyudahkan peluang pada minit ke-86 untuk memastikan kemenangan 2-1 ke atas Ivory Coast.
Jaringan itu merupakan gol kelima Haaland dalam tiga perlawanan di Amerika Utara selepas beliau direhatkan ketika Norway tewas 1-4 kepada Perancis pada peringkat kumpulan.
Setakat ini, hanya Lionel Messi mengatasi jumlah jaringannya dengan enam gol dalam kejohanan tersebut.
Haaland kemudian mengetuai rakan sepasukan melakukan sambutan ikonik Viking Row di atas padang sebelum berkata kepada penyiar: “Ini sesuatu yang luar biasa.

“Saya tidak boleh mengeluarkan kata-kata kesat, tetapi ini benar-benar luar biasa. Ini adalah sejarah.”
Gol Haaland menghadiahkan kemenangan pertama Norway dalam perlawanan kalah mati Piala Dunia, sekali gus membawa pasukan itu ke pusingan 16 terakhir untuk berdepan Brazil.
Penyerang berusia 25 tahun itu kini telah menjaringkan gol dalam 13 perlawanan antarabangsa kompetitif berturut-turut dengan menghasilkan 25 gol sepanjang tempoh tersebut.
Norway dijangka berdepan cabaran getir menentang Brazil, namun kapten Martin Odegaard percaya kehadiran Haaland memberi harapan besar kepada pasukannya.
“Hebat dapat memiliki beliau dalam pasukan. Kami bertuah memilikinya dan tugas kami adalah mencipta sebanyak mungkin peluang untuknya,” kata Odegaard.

Ketua jurulatih Norway, Stale Solbakken, menyifatkan Haaland sebagai “penjaring gol terbaik dunia”.
“Tiada keraguan mengenai perkara itu. Hari ini dia tidak banyak terlibat dalam permainan. Saya fikir dia hanya mempunyai satu peluang terbaik pada babak pertama, namun sekali lagi dia menjaringkan gol kemenangan.
“Kehadirannya memberikan ketenangan kepada pasukan. Pada pandangan saya, kebolehannya mengekalkan penguasaan bola sering dipandang rendah.
“Hari ini dia langsung tidak kehilangan penguasaan bola. Menjaringkan lima gol dalam tiga perlawanan Piala Dunia bagi sebuah negara kecil seperti Norway, saya tidak akan menukarnya dengan mana-mana pemain lain.
“Dialah penjaring gol terbaik dalam bola sepak dunia ketika ini,” katanya.
Pemain sayap Ivory Coast, Amad Diallo, yang menjaringkan gol penyamaan sebelum Haaland meledak gol kemenangan, mengakui pasukannya memberikan terlalu banyak ruang kepada penyerang tersebut.
“Saya rasa gol kedua itu terlalu mudah. Kami memberikan terlalu banyak kebebasan kepada seorang pemain. Apabila anda membiarkan penyerang berkualiti sepertinya bersendirian, akhirnya anda akan menerima padah,” katanya.
Bekas penyerang England, Wayne Rooney, pula berkata Haaland merupakan faktor utama yang menjadikan Norway sebuah pasukan yang berbahaya.
“Norway ialah sebuah pasukan yang sangat baik, dan semuanya kerana pemain itu.
Menerusi jaringan-jaringannya, dia membuktikan bahawa dia sememangnya layak beraksi di pentas Piala Dunia.
“Dia benar-benar menggerunkan. Walaupun tidak banyak terlibat dalam permainan, dia tetap muncul menjaringkan gol kemenangan,” kata Rooney. – AFP