Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Jadual padat, Aisha Retno tangguh lancar album kedua
  • HIBURAN

Jadual padat, Aisha Retno tangguh lancar album kedua

Utusan Sarawak 3 hours ago
Aisha Retno. Foto Bernama.

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer Aisha Retno mengakui hasrat melancarkan album penuh keduanya terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu biarpun keseluruhan material dan aset lagu telah siap, susulan komitmen seninya yang padat sepanjang tahun ini.

Naib juara Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-38 itu berkata, keputusan berkenaan dibuat bagi memastikan album tersebut menerima ruang promosi yang sewajarnya apabila dilancarkan kelak.

“Semua material dan aset lagu sebenarnya sudah ada. Bagaimanapun, disebabkan jadual yang cukup padat pada tahun ini, kami menangguhkan dahulu pelancaran album kedua ini mungkin hingga hujung tahun ataupun awal tahun depan,” katanya dalam program Fokus 30 terbitan Bernama Radio hari ini.

Dalam perkembangan lain, Aisha berkata beliau teruja apabila diberi kepercayaan menggalas watak utama dalam pementasan teater musikal Puteri Gunung Ledang terbitan Enfiniti Productions, yang disifatkannya sebagai antara cabaran terbesar sepanjang kerjayanya.

Pelantun lagu Sutera itu bakal membawa watak Gusti Putri Raden Ajeng Retno Dumilah dan mengakui pementasan berskala besar yang berlangsung selama 23 sidang berturut-turut tersebut menuntut komitmen tinggi, lebih-lebih lagi kerana karya berkenaan merupakan pengalaman pertamanya dalam teater musikal. 

“Ini adalah kali pertama saya menyertai teater musikal dan merupakan satu tahap pendidikan seni yang cukup tinggi bagi saya. Skop tugasnya amat luas kerana menggabungkan elemen nyanyian, tarian, lakonan dan hiburan sekali gus.

“Walaupun ada yang menganggap saya sudah bersedia ketika sesi uji bakat, saya sentiasa meletakkan diri saya ‘kosong’ kerana mahu terus menimba ilmu daripada penggiat seni teater yang lebih berpengalaman,” jelasnya.

Mengulas tanggapan segelintir pengguna media sosial bahawa pemilihannya didorong faktor populariti, Aisha menegaskan beliau menjalani proses pemilihan yang sama seperti pelakon lain menerusi tiga peringkat sesi uji bakat.

Pementasan Puteri Gunung Ledang turut menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Mila Mohsin, Mimi Fly, Nadia Aqilah, Aqasha dan Luqman Hafidz.

Menyentuh persiapannya menghadapi AJL ke-40, Aisha berkata, beliau kini memberi sepenuh fokus pada pertandingan berprestij itu yang akan berlangsung pada 15 Ogos depan.

Aisha mara ke pentas akhir menerusi lagu ciptaannya sendiri, Tak Adil, bersama-sama sembilan lagu lain, termasuk Kamu nyanyian Aina Abdul, Cak Cak Cekuk (Wani Kayrie), Lemah (Dayang Nurfaizah), Nurcinta (Amir Masdi) dan Tangisan Seorang Pendosa (Marsha Milan). – Bernama

Continue Reading

Previous: Legenda muzik negara gegar Miri menerusi Makan Malam Amal Legenda, satukan usaha bantu seniman veteran
Next: Sakura Band kembali dengan RE:START, simbol kebangkitan semula

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.