KUALA LUMPUR, 18 Oktober: Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil menzahirkan harapan agar Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin terus menyinari industri seni tanah air dan mengangkat martabat muzik tradisional Malaysia ke seluruh dunia.
Perkara itu dikongsikan Fahmi menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini selepas hadir bersama isterinya menyaksikan Konsert Tradisional Gema Bumantara oleh Siti Nurhaliza di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Fahmi turut menyifatkan penganjuran konsert berkenaan sebagai sebuah persembahan yang sarat dengan keindahan seni dan irama tradisional.
“TokTi (Datuk Seri Siti Nurhaliza) dan pasukan telah menyajikan persembahan yang begitu bertenaga, memukau dan sarat dengan keindahan warisan budaya. Tahniah dan syabas, Biduanita Negara!

“Teruslah menyinari industri seni tanah air dan mengangkat martabat muzik tradisional Malaysia ke seluruh dunia,” katanya.
Konsert Tradisional Gema Bumantara anjuran SN Legacy yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi, berjaya menarik kehadiran 63,000 penonton walaupun berlangsung dalam hujan. – Bernama





