
PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak menyambut baik inisiatif Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) dalam menganjurkan Majlis Makan Malam Amal Legenda yang dijadualkan berlangsung di Pullman Waterfront Miri pada 4 Julai 2026.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran acara itu merupakan usaha mulia bagi membantu golongan seniman veteran yang memerlukan, selain menjadi platform untuk menghargai sumbangan mereka kepada industri seni tanah air selama beberapa dekad.
“Tanpa hiburan, kehidupan kita pastinya menjadi hambar. Pengorbanan golongan seniman ini amat besar, dan melalui badan amal seperti KARYAWAN, kita dapat mengumpul dana untuk membantu mereka yang pernah menceriakan kehidupan masyarakat,” katanya pada sidang media di Bangunan Baitul Makmur II di sini, hari ini.
Beliau berkata kerajaan negeri mengalu-alukan lebih banyak penganjuran acara seumpama itu kerana bukan sahaja memberi penghormatan kepada artis legenda, malah mampu merancakkan industri pelancongan dan ekonomi tempatan, khususnya di Miri.
Sehubungan itu, beliau turut menyeru pihak korporat serta orang ramai khususnya warga Miri, Bintulu dan Brunei Darussalam, agar hadir memberi sokongan kepada majlis tersebut.
Beliau menegaskan bahawa acara berprestij ini bukan sahaja menawarkan hiburan daripada barisan artis legenda, malah secara tidak langsung membantu merancakkan sektor pelancongan di Miri.
Majlis Makan Malam Amal Legenda yang dijadualkan berlangsung dari 6.30 petang hingga 11.00 malam itu akan menampilkan barisan artis tersohor seperti Datuk Zainal Abidin, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Khatijah Ibrahim dan Datuk Ramli Sarip.
Turut memeriahkan acara ialah artis-artis Sarawak termasuk Safar Ghaffar, Melissa Francis serta pemain sape seperti Anderson Kalang dan Hezekiah Asim.
Presiden KARYAWAN, Dato’ Freddie Fernandez bersama Pengerusi KARYAWAN, Dato’ Khatijah Ibrahim dalam kenyataan mereka melahirkan rasa syukur atas sokongan padu kerajaan Sarawak dan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan.
Dalam pada itu, Pengerusi KARYAWAN, Dato’ Khatijah Ibrahim turut melahirkan rasa terharu atas sokongan yang diterima serta menegaskan bahawa konsert tersebut akan menampilkan persembahan luar biasa yang tidak dapat dilupakan, khususnya buat golongan muda.
Beliau turut menyeru pihak korporat untuk memberikan sokongan padu memandangkan hasil kutipan majlis akan disalurkan terus bagi membantu penggiat seni yang memerlukan bantuan.
Bagi mereka yang ingin menyumbang atau menghadiri majlis tersebut, tempahan meja dan tiket boleh dibuat dengan menghubungi Dato’ Khatijah di talian 016-2338888 atau melayari laman web www.myticket.asia dan www.karyawan.my.
Persatuan Karyawan Malaysia yang ditubuhkan pada 2000 kini giat menjalankan pelbagai aktiviti kebajikan bagi membantu lebih 7,000 ahli serta penggiat seni yang berdepan kekangan kewangan dan ketiadaan perlindungan jangka panjang.
Shikin Mahmud