
KUCHING: “Senyap tidak bermakna seseorang itu tidak mempunyai suara.”
Demikian penegasan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Fatimah Abdullah ketika merasmikan Silent Run 5.0 Kuching Finale yang menghimpunkan lebih 700 peserta di Ruang Legar MBKS, hari ini.
Menurut beliau, komuniti Pekak mempunyai pandangan, aspirasi, kebolehan, bakat serta impian yang perlu didengari, dihormati dan dihargai oleh masyarakat.

“Komunikasi bukan hanya melalui pertuturan, malah boleh dilakukan menerusi Bahasa Isyarat Malaysia, ekspresi wajah, penulisan, teknologi dan persefahaman antara satu sama lain,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Sukan Orang Pekak Sarawak, jawatankuasa penganjur, sukarelawan, penaja serta rakan strategik yang berjaya menganjurkan siri Silent Run 5.0 di empat bandar utama di Sarawak.
Acara di Kuching menjadi penutup siri jelajah Silent Run 5.0 yang sebelum ini berlangsung di Miri, Bintulu dan Sibu dengan penyertaan komuniti Pekak, ahli keluarga, golongan belia, sukarelawan serta masyarakat umum.

Fatimah berkata, program berkenaan bukan sekadar aktiviti sukan, sebaliknya menjadi platform penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pengalaman komuniti Pekak serta menggalakkan keterangkuman dalam pelbagai aspek kehidupan.
Beliau berkata, komuniti Pekak berhak menikmati peluang sama rata dalam bidang pendidikan, pekerjaan, latihan kemahiran, sukan, kepimpinan dan penyertaan dalam masyarakat.
Dalam pada itu, beliau berkata sukan merupakan medium berkesan untuk menyatukan masyarakat serta membentuk disiplin, keyakinan diri, keberanian, semangat berpasukan dan ketabahan.

Katanya, dengan latihan yang sesuai, kemudahan yang mudah diakses, bimbingan berterusan dan sokongan masyarakat, atlet Pekak di Sarawak berpotensi mencipta lebih banyak kejayaan serta mengharumkan nama negeri di peringkat lebih tinggi.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur, Victor Hill, merakamkan penghargaan kepada lebih 700 peserta, sukarelawan, penaja, agensi kerajaan, rakan strategik dan orang ramai yang menjayakan acara kemuncak tersebut.
Beliau berharap lebih ramai individu Pekak dari seluruh Sarawak menyertai program sukan, kepimpinan dan kemasyarakatan yang dianjurkan oleh persatuan pada masa akan datang bagi mengembangkan bakat serta meningkatkan keyakinan diri.
Beliau turut menggalakkan masyarakat mempelajari Bahasa Isyarat Malaysia bagi mengurangkan jurang komunikasi dan mewujudkan interaksi yang lebih baik dengan komuniti Pekak.
Persatuan Sukan Orang Pekak Sarawak berharap Silent Run akan terus dianjurkan sebagai program tahunan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat, mengeratkan hubungan antara komuniti Pekak dengan masyarakat umum serta memperkasakan golongan itu di seluruh Sarawak.
Oleh Shikin Mahmud