
PETRA JAYA: Sarawak masih menunggu keputusan Kementerian Kewangan berhubung cadangan formula pembayaran geran khas kepada negeri ini di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan yang kini masih dalam peringkat rundingan dengan Kerajaan Persekutuan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, kerajaan Sarawak telah mengemukakan cadangan formula tersebut bagi memastikan penyelarasan pembayaran geran khas pada masa hadapan dibuat berdasarkan mekanisme yang jelas dan dipersetujui kedua-dua pihak.
Menurut beliau, ketika ini Sarawak menerima bayaran interim sebanyak RM600 juta sementara menunggu keputusan berhubung formula berkenaan.
“Bagi Sarawak, kita melihat kepada Perkara 112D. Pada masa ini kita menerima bayaran interim sebanyak RM600 juta.
“Apa yang dicadangkan oleh Sarawak ialah satu formula supaya apabila penyelarasan dibuat nanti, ia mempunyai asas yang jelas.
“Perkara itu masih dalam peringkat perundingan dan kita kini menunggu keputusan daripada Kementerian Kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Penyampaian Sumbangan Pelajar Cemerlang di Sekolah Menengah Sains Kuching, di sini, hari ini.
Fadillah berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Sarawak boleh menjangkakan kenaikan geran khas pada kadar yang hampir sama seperti diumumkan Kerajaan Persekutuan kepada Sabah.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan tuntutan geran khas bagi Sabah dan Sarawak tidak boleh disamakan kerana kedua-dua negeri mempunyai asas peruntukan perlembagaan yang berbeza.
Katanya, pembayaran geran khas kepada Sabah adalah berdasarkan peruntukan khusus yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu sebanyak 40 peratus daripada hasil bersih yang diperoleh daripada negeri itu dipulangkan semula kepada Sabah.
“Peruntukan itu khusus untuk Sabah kerana ia termaktub dalam Perlembagaan. Bagi Sarawak pula, pendekatan yang diambil adalah melalui Perkara 112D dan sebab itu kita sedang berunding bagi memuktamadkan formula pembayaran geran khas tersebut,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas tempoh masa keputusan itu dijangka dibuat, sebaliknya menegaskan ia kini bergantung kepada pertimbangan Kementerian Kewangan.
Oleh Shahrul Qaizat