
ARLINGTON, Amerika Syarikat: Argentina menegaskan mereka tidak akan memandang rendah cabaran Cape Verde yang disifatkan sebagai pasukan “sangat sukar” apabila juara bertahan yang dibarisi Lionel Messi itu berdepan pasukan kejutan tersebut dalam pusingan 32 terbaik Piala Dunia.
Juara bertahan itu dijangka menjadi pilihan besar untuk menang apabila menentang pasukan debutan kejohanan tersebut pada 3 Julai ini di Miami.
Kapten Argentina, Messi yang dimasukkan sebagai pemain gantian, menjaringkan gol menerusi sepakan percuma ketika membantu kemenangan 3-1 ke atas Jordan yang sudah tersingkir di Texas pada pagi tadi.
Skuad kendalian Lionel Scaloni menamatkan peringkat kumpulan dengan kutipan maksimum mata dan tampak meyakinkan walaupun berada dalam kumpulan yang dianggap lebih lemah yang turut menampilkan Algeria dan Austria.
Penyerang Lautaro Martinez, yang menjaringkan gol kedua menerusi sepakan penalti menentang Jordan, berkata kepada penyiar:

“Kami berada dalam keadaan baik, kini kami perlu berehat dan mengisi semula tenaga untuk memikirkan apa yang akan datang, yang pastinya sukar.
“Hari ini kami berdepan pasukan penting seperti Jordan, kami perlu melaksanakan tugas kami dan kami berjaya melakukannya. Sebab itu kami pulang dengan gembira dan sangat teruja untuk cabaran seterusnya.”
Penjaring gol babak pertama, Giovani Lo Celso berkata aksi peringkat kumpulan hampir sempurna.
“Sayang sekali kami dibolosi hari ini, kami mahu menamatkan peringkat kumpulan tanpa bolos,” katanya.
“Namun secara keseluruhan, ini adalah peringkat kumpulan yang sangat baik. Sekarang bermula fasa paling penting.

“Mulai sekarang, kami perlu melupakan semua itu dan fokus kepada Cape Verde yang akan menjadi lawan sangat sukar.”
Cape Verde yang berada di ranking ke-67 dunia mara ke pusingan seterusnya selepas mengutip tiga keputusan seri, termasuk satu keputusan 0-0 menentang Sepanyol. – AFP