
MIAMI, Amerika Syarikat: Colombia menamatkan saingan selaku juara Kumpulan K Piala Dunia selepas terikat tanpa jaringan dalam perlawanan penuh aksi menentang Portugal sebentar tadi.
Namun Colombia berasa kecewa apabila jaringan lewat permainan oleh Davinson Sanchez dibatalkan kerana ofsaid tipis.
Colombia akan menentang Ghana pada pusingan 32 terbaik, manakala naib juara Portugal bakal menyaksikan Cristiano Ronaldo berdepan bekas rakan sepasukan Real Madrid, ikon Croatia Luka Modric pada Khamis.
Bagaimanapun, Ronaldo kurang menyerlah dalam perlawanan berintensiti tinggi itu dan dibayangi bekas rakan sepasukan Real Madrid, James Rodriguez yang berusia 34 tahun.
Perlawanan yang disaksikan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, dan Presiden FIFA, Gianni Infantino itu berlangsung dalam suasana bising dengan sorakan padu penyokong Colombia.
Colombia hampir membuka jaringan awal apabila Jhon Cordoba menanduk melepasi gawang dari jarak dekat selepas menerima hantaran cantik daripada bintang Bayern Munich, Luis Diaz.
Cordoba sekali lagi mengancam pada minit ke-17 apabila melepasi pertahanan Portugal sebelum melepaskan rembatan kencang, namun berjaya diselamatkan penjaga gol Diogo Costa.

Portugal bergantung kepada Ronaldo, namun Colombia memiliki senjata utama mereka sendiri iaitu James Rodriguez.
Pada penampilan ke-11 di Piala Dunia, iaitu rekod buat negaranya, Rodriguez melakukan hantaran kreatif yang menemukan Jhon Arias, namun percubaannya diselamatkan di garisan gol oleh Ruben Neves.
Sementara itu, percubaan tunggal Ronaldo daripada sepakan percuma mudah ditangkap penjaga gol Colombia, Camilo Vargas.
Vargas kemudian melakukan satu aksi menyelamat cemerlang untuk menafikan percubaan Bruno Fernandes.
Rodriguez terus mengawal tempo permainan dan hampir menjaringkan gol sebelum rehat, namun rembatan tepatnya dapat ditangkap kemas oleh Costa.
Babak kedua bermula dengan tempo tinggi, apabila Joao Felix mensia-siakan peluang terbaik dengan menanduk tinggi hantaran Diogo Dalot.
Colombia membalas dengan beberapa percubaan berbahaya, termasuk rembatan Jefferson Lerma yang ditepis Costa serta percubaan jarak jauh Jhon Arias.
Ronaldo turut hampir memecah kebuntuan tetapi percubaannya tersasar, selain dia sudah berada dalam kedudukan ofsaid.
Pemain tengah Colombia, Richard Rios hampir mencipta impak sebaik dimasukkan, namun mensia-siakan peluang keemasan untuk membuka jaringan.
Costa terus menjadi benteng terakhir Portugal dengan beberapa aksi menyelamat cemerlang ketika menafikan asakan bertali arus Colombia.
Rodriguez akhirnya dikeluarkan 15 minit sebelum tamat permainan, namun jurulatih Portugal, Roberto Martinez memilih mengekalkan Ronaldo di atas padang walaupun kurang memberi impak.
Costa sekali lagi menjadi penyelamat apabila menepis hantaran berbahaya sebelum bola jatuh kepada Luis Suarez, namun percubaan akrobatiknya tersasar.

Colombia akhirnya menyangka mereka memperoleh gol kemenangan apabila Sanchez menanduk masuk di tiang jauh, namun jaringan itu dibatalkan kerana ofsaid selepas semakan VAR — hanya dipisahkan oleh sentuhan kecil.
Keputusan itu mengecewakan pemain dan penyokong Colombia, namun mereka tetap meraikan kejayaan menamatkan saingan di tangga teratas kumpulan. – AFP