
LOS ANGELES: Pengurus Scotland, Steve Clarke, telah meletakkan jawatan selepas pasukannya tersingkir di peringkat kumpulan Piala Dunia, menurut Persatuan Bolasepak Scotland (Scottish FA) pada Sabtu.
Kepastian tersingkirnya Scotland hadir selepas Croatia menewaskan Ghana yang sudah pun layak dalam aksi Kumpulan L, sekali gus menutup peluang pasukan itu untuk berada dalam kelompok lapan pasukan tempat ketiga terbaik di Amerika Utara.
“Ketua jurulatih lelaki Scotland, Steve Clarke, telah meletakkan jawatan daripada peranannya. Ketua jurulatih paling berjaya dalam sejarah pasukan kebangsaan kami itu menamatkan tempoh tujuh tahun kendalian beliau selepas penyertaan kami di Piala Dunia FIFA 2026,” kata Scottish FA menerusi hantaran di media sosial.
Clarke, 62, sebelum ini membawa Scotland layak ke dua Kejohanan Eropah berturut-turut sebelum merencana kejayaan membawa pasukan itu ke Piala Dunia pertama sejak 1998.
Scotland memulakan kempen dengan kemenangan 1-0 ke atas Haiti dalam Kumpulan C, namun tewas 0-1 kepada Maghribi sebelum dibelasah 0-3 oleh Brazil. Walaupun mengumpul tiga mata, mereka gagal mara ke pusingan 32 terbaik akibat perbezaan jaringan yang lebih lemah.
Menjelang aksi terakhir kumpulan, Scotland masih berpeluang mara ke peringkat kalah mati, namun kesilapan dalam aksi menentang juara lima kali dunia di Miami menyaksikan Clarke tidak berpuas hati dan menamatkan temu bual selepas perlawanan lebih awal, sebelum kemudian memberitahu BBC: “Bagi saya, sudah pasti kami akan pulang.”
Beberapa keputusan lain di kumpulan berbeza, termasuk kemenangan mengejut Ecuador ke atas Jerman, mengesahkan ramalan suram Clarke itu.
“Bahagian paling emosional dalam perpisahan ini adalah untuk pemain saya, tanpa mereka kami tidak akan mempunyai semua kenangan yang kami kumpulkan sejak 2019 hingga kini,” kata Clarke dalam surat kepada penyokong selepas membuat keputusan meninggalkan jawatannya.
“Mereka layak menerima segala pujian dan penghargaan yang diberikan, dan ia satu penghormatan besar untuk saya dipanggil sebagai pengurus mereka.
“Terima kasih kerana memberi peluang kepada saya, dan selamat maju jaya kepada pengganti saya.” – AFP