
EAST RUTHERFORD, Amerika Syarikat: Jude Bellingham dan Harry Kane masing-masing meledak gol pada babak kedua untuk membantu England menewaskan Panama 2-0 dalam aksi Piala Dunia di Stadium MetLife, sebentar tadi, sekali gus mengesahkan kemaraan skuad kendalian Thomas Tuchel ke pusingan 32 terbaik selaku juara Kumpulan L.
Bintang Real Madrid, Bellingham, memecah kebuntuan sejurus selepas sejam permainan apabila menyempurnakan sepakan penjuru Bukayo Saka dalam keadaan padang yang becak akibat hujan di New Jersey.
Perlawanan berlangsung agak hambar sebelum itu, namun jaringan pembukaan sememangnya sudah dijangka. Bellingham kemudian mencipta bantuan gol menerusi hantaran lintang yang disudahkan Kane dengan tandukan untuk menggandakan kelebihan England pada pertengahan babak kedua.
Gol itu adalah jaringan ketiga Kane dalam kejohanan selepas penyerang itu meledak dua gol ketika England menewaskan Croatia 4-2 dalam aksi pembukaan. Kapten England itu kini muncul penjaring terbanyak negaranya dalam sejarah Piala Dunia dengan 11 gol, mengatasi rekod Gary Lineker.

Tiga daripada jaringan tersebut hadir ketika England membelasah Panama 6-1 pada Piala Dunia 2018 di Russia, namun The Three Lions terpaksa bekerja lebih keras kali ini berdepan lawan yang berdisiplin walaupun terhad dari segi kualiti.
Prestasi England sekali lagi mengundang persoalan mengenai kemampuan mereka selepas sekadar seri tanpa jaringan dengan Ghana di Boston, Selasa lalu.
Walaupun belum mengulangi aksi meyakinkan seperti ketika menewaskan Croatia, England tetap menamatkan saingan di tangga teratas kumpulan dengan tujuh mata daripada tiga perlawanan.
Kedudukan selaku juara kumpulan amat penting kerana ia membolehkan England mengelak pertemuan dengan Sepanyol pada pusingan 16 terbaik.
Sebaliknya, mereka akan beraksi di Atlanta pada Rabu ini menentang pasukan yang menamatkan saingan di tempat ketiga kumpulan. Jika menang, England akan beraksi di Mexico City pada pusingan 16 terbaik, dengan kemungkinan bertemu Mexico di Stadium Azteca, gelanggang yang menyaksikan mereka tewas kepada Argentina yang diketuai Diego Maradona pada 1986.
Bagaimanapun, Tuchel pastinya tidak mahu terlalu memikirkan saingan seterusnya kerana England masih mempunyai banyak aspek yang perlu diperbaiki sebelum benar-benar bersedia mencabar pasukan-pasukan pilihan kejohanan.
Pada masa sama, England dijangka tidak lagi berdepan pasukan yang terlalu bertahan seperti Ghana dan Panama, yang banyak berkampung di kawasan sendiri sepanjang perlawanan.
Panama yang berada di ranking ke-34 dunia memberikan tentangan sengit, namun gagal mencipta banyak peluang dan masih belum mengutip sebarang mata dalam sejarah penyertaan mereka di Piala Dunia.
Selepas tewas dalam ketiga-tiga aksi peringkat kumpulan pada penampilan sulung di Piala Dunia 2018, Panama sekali lagi tersingkir tanpa sebarang mata selepas kalah dalam semua tiga perlawanan kali ini, termasuk kekalahan 1-0 kepada Ghana dan Croatia, selain gagal menjaringkan sebarang gol.

Rashford tampil cemerlang
Tuchel melakukan lima pertukaran dalam kesebelasan utama selepas aksi menentang Ghana, termasuk merehatkan Declan Rice di bahagian tengah. Marcus Rashford dan Saka pula diberi peluang membuat penampilan sulung dalam kesebelasan utama pada kejohanan kali ini di posisi sayap.
Rashford hampir meletakkan England di depan apabila memaksa penjaga gol Panama, Orlando Mosquera, melakukan satu aksi menyelamat cemerlang dalam tempoh 10 minit pertama. Beliau kemudian menanduk tinggi hantaran Elliot Anderson sebelum sepakan percumanya sedikit tersasar pada masa kecederaan babak pertama.
Panama turut memperoleh satu peluang terbaik pada separuh masa pertama, namun penjaga gol England, Jordan Pickford, cemerlang menyelamatkan rembatan Jose Luis Rodriguez di tiang dekat.
England kelihatan kurang bertenaga sebelum rehat, namun permainan mereka lebih tersusun dan agresif selepas babak kedua bermula.
Jose Cordoba hampir menghadiahkan gol sendiri apabila percubaan mengeluarkan bola terkena rakan sepasukannya, Andres Andrade, sebelum melambung tipis melepasi palang. Mosquera kemudian sekali lagi bertindak cemerlang menafikan percubaan Kane.
Jaringan yang dinanti akhirnya hadir pada minit ke-62 apabila Bellingham berjaya melepasi kawalan Jorge Gutierrez sebelum menolak masuk bola hasil sepakan penjuru Saka.

Ia merupakan gol kedua Bellingham dalam kejohanan ini sebelum beliau melengkapkan aksi cemerlang dengan membantu Kane menjaringkan gol kedua bagi memastikan kemenangan England.
Jose Fajardo sempat membolosi gawang England pada penghujung perlawanan, namun jaringan itu dibatalkan kerana ofsaid.
Walaupun ia mungkin merupakan persembahan paling sederhana England di peringkat kumpulan Piala Dunia sejak 2014 ketika mereka tersingkir seawal pusingan pertama, kali ini mereka tetap berjaya melangkah selamat ke pusingan kalah mati. – AFP