
BINTULU: Hari Keusahawanan Sekolah Kebangsaan (SK) St Anthony Bintulu bukan sekadar medan jual beli, malah menjadi platform pembelajaran praktikal yang memberi pendedahan awal kepada murid mengenai dunia perniagaan, sekali gus memupuk kemahiran keusahawanan, komunikasi dan kepimpinan.
Program yang memasuki penganjuran tahun kedua itu melibatkan penyertaan 10 kelab sekolah itu dengan pengurusan gerai dikendalikan sepenuhnya oleh murid di bawah bimbingan guru penasihat.
Guru penyelaras, Cikgu Kristalline, ketika ditemui Utusan Sarawak berkata program tersebut memberi peluang kepada murid merasai sendiri pengalaman mengurus perniagaan, daripada merancang jualan, menetapkan harga, mempromosikan produk hingga berinteraksi dengan pelanggan.
Menurut beliau, guru hanya berperanan sebagai pembimbing manakala murid diberi kebebasan untuk mengendalikan gerai dan membuat keputusan sendiri.
“Kami hanya membimbing mereka. Murid sendiri yang menguruskan jualan. Kami mengajar mereka cara menarik pelanggan, mempromosikan produk serta berkomunikasi dengan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata sambutan yang diterima tahun ini amat menggalakkan apabila kebanyakan gerai makanan hampir habis dijual seawal 12.30 tengah hari, walaupun program dijadualkan berakhir pada 2.00 petang.
Katanya, kejayaan itu didorong oleh promosi yang dibuat melalui media sosial selain sokongan padu daripada ibu bapa, alumni dan masyarakat setempat.
“Kami berkongsi maklumat program di media sosial dan turut mengajak bekas murid untuk hadir. Ramai alumni datang memberikan sokongan sehingga suasana hari ini begitu meriah,” katanya.
Kristalline berkata pengalaman menganjurkan program tahun lalu menjadi panduan untuk melakukan pelbagai penambahbaikan, termasuk membuat persiapan hampir sebulan lebih awal bagi memastikan perjalanan program lebih lancar.
Beliau turut berkata murid menjalani latihan sebelum hari jualan bagi mempelajari teknik pemasaran, menentukan harga produk dan mengurus urus niaga.

“Ada murid yang mencadangkan supaya harga produk diturunkan selepas melihat sambutan pembeli ketika latihan. Mereka belajar bahawa harga yang sesuai mampu menarik lebih ramai pelanggan dan akhirnya produk habis dijual dalam tempoh singkat,” jelasnya.
Menurut beliau, program berkenaan bukan sahaja mengajar murid berniaga, malah membantu meningkatkan keyakinan diri, khususnya murid yang pemalu, apabila mereka diberi peluang menggunakan mikrofon, mempromosikan produk dan berinteraksi secara langsung dengan pelanggan.
“Perkara seperti komunikasi, rundingan, mengurus wang dan menyelesaikan masalah tidak dapat dipelajari sepenuhnya di dalam bilik darjah. Melalui program ini, murid memperoleh pengalaman sebenar yang sangat berharga,” katanya.
Beliau berkata kreativiti murid turut terserlah apabila sebahagian idea permainan dan aktiviti di gerai diilhamkan sendiri oleh mereka berdasarkan trend semasa, termasuk inspirasi daripada media sosial.
Dalam pada itu, hasil jualan yang diperoleh akan disalurkan kepada dana kelab masing-masing bagi membiayai pelbagai aktiviti kokurikulum sepanjang tahun.
Selain gerai yang dikendalikan murid, program itu turut disertai beberapa peniaga luar serta agensi dan syarikat tempatan yang membuka ruang pameran dan jualan.
Bagi menghargai usaha peserta, pihak sekolah turut menyediakan anugerah gerai paling cantik, paling kreatif dan paling mesra pelanggan kepada para peserta.
Mengulas perancangan masa depan, Kristalline berkata pihak sekolah bercadang memperkenalkan sistem kupon, menambah penyertaan peniaga luar serta mengadakan pertandingan pencarian bakat bagi memeriahkan lagi Hari Keusahawanan pada tahun hadapan.
Beliau berharap program tersebut dapat diteruskan setiap tahun sebagai platform melahirkan murid yang lebih berani, kreatif dan bersedia menghadapi cabaran dunia sebenar melalui pengalaman pembelajaran di luar bilik darjah.
Oleh Faizah Muzidi