
BINTULU: PTT Eksplorasi dan Pengeluaran Syarikat Awam Berhad (PTTEP) terus memperkukuh usaha pembangunan komuniti dan pemeliharaan alam sekitar menerusi penganjuran program tahunan Memupuk Alam, Membina Masa Depan serta pelancaran Projek Orkid di bawah Inisiatif Hydro Sprout di Bintulu, semalam.
Program yang memasuki penganjuran kali keempat itu merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) “Kami Prihatin” PTTEP yang menghimpunkan tiga aktiviti utama secara serentak, iaitu penanaman pokok, kempen pengumpulan sisa elektrik dan elektronik (e-waste), serta pelancaran Projek Orkid.
Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), Kelab Lions Antarabangsa Cawangan Bintulu-Kidurong, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Bintulu, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Bintulu serta E-Concern (M) Sdn. Bhd.
Seramai 150 sukarelawan daripada PTTEP Malaysia bersama rakan kerjasama mengambil bahagian dalam aktiviti penanaman 500 pokok spesies tempatan di beberapa lokasi sekitar Bintulu sebagai usaha menghijaukan bandar dan memelihara alam sekitar.
Selain itu, kempen pengumpulan sisa elektrik dan elektronik turut diadakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan melupuskan peralatan elektrik dan elektronik secara bertanggungjawab bagi mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Pada masa sama, PTTEP Malaysia turut melancarkan Projek Orkid di bawah Inisiatif Hydro Sprout, iaitu program pembangunan komuniti pertama syarikat yang memberi tumpuan kepada pertanian hidroponik.
Projek yang diperkenalkan tahun ini memperluaskan skop program dengan memperkenalkan penanaman orkid menggunakan teknik hidroponik, sekali gus memberi peluang kepada peserta mempelajari kemahiran baharu dalam bidang pertanian serta berpotensi menjana pendapatan tambahan.
Ketua Aset Brownfield PTTEP, Al Ashraf Zarif Al Bakri, berkata Inisiatif Hydro Sprout diwujudkan atas keyakinan bahawa pertanian mampan mampu membawa perubahan positif kepada kehidupan masyarakat.
Katanya, pelaksanaan Projek Orkid merupakan langkah seterusnya syarikat dalam menggabungkan usaha pemuliharaan alam sekitar dengan pembangunan kemahiran komuniti melalui pembelajaran pertanian moden.
Beliau turut berkata, menerusi program “Kami Prihatin” dan inisiatif Memupuk Alam, Membina Masa Depan, PTTEP bukan sahaja melaksanakan aktiviti penanaman pokok serta pengumpulan sisa elektrik dan elektronik, malah berusaha memupuk idea baharu dan membina masa depan yang lebih mampan.
Menurutnya, kerjasama berterusan bersama pelbagai agensi dan organisasi mencerminkan komitmen syarikat untuk menyokong pembangunan komuniti yang lebih hijau, berdaya tahan dan lestari di Bintulu.
Oleh Faizah Muzidi