
VANCOUVER, Kanada: Belgium menewaskan New Zealand 5-1 untuk mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati Piala Dunia sebentar tadi, sekali gus mencatat kemenangan pertama dalam kejohanan itu dan muncul juara Kumpulan G di Vancouver.
Dua gol daripada pemain Arsenal, Leandro Trossard, serta jaringan Kevin De Bruyne, Romelu Lukaku dan Alexis Saelemaekers memastikan Belgium mara ke pusingan 32 terakhir sebagai pendahulu kumpulan mengatasi Mesir berdasarkan perbezaan gol.

Mesir pula meraih tempat kedua selepas seri 1-1 dengan Iran di Seattle, manakala Iran menamatkan saingan di tangga ketiga kumpulan.
Belgium menguasai sepenuhnya babak pertama dan hampir membuka jaringan seawal minit permainan apabila rembatan Trossard terkena bahagian dalam tiang gol sebelum diselamatkan di garisan oleh Tyler Bindon.

Belgium kemudian berpeluang mendahului apabila pengadil dari Jordan, Adham Mohammad, menghadiahkan sepakan penalti selepas rembatan Trossard terkena tangan pertahanan New Zealand, Finn Surman.
Bagaimanapun, semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) menyebabkan pengadil menilai semula insiden tersebut sebelum keputusan penalti itu dibatalkan.

Belgium akhirnya memperoleh gol pembukaan menerusi Trossard yang menyempurnakan peluang dari jarak dekat selepas sepakan sudut De Bruyne mencetuskan kekalutan di dalam kawasan penalti.
Trossard menambah gol kedua lima minit selepas rehat apabila mengawal bola muntah sebelum melepaskan voli yang menewaskan penjaga gol New Zealand, Max Crocombe.

De Bruyne kemudian menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-66 menerusi penyudah rendah yang kemas, sekali gus melonjakkan Belgium ke tangga teratas kumpulan berdasarkan perbezaan gol.
Namun demikian, New Zealand berjaya memperoleh gol sagu hati apabila Elijah Just menjaringkan gol menerusi voli dari luar kawasan penalti untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Gol tersebut menyebabkan Belgium seketika jatuh ke tempat kedua kumpulan.
Bagaimanapun, Lukaku yang dimasukkan sebagai pemain gantian hanya memerlukan seminit untuk menjaringkan gol menerusi tandukan pada minit ke-86, sekali gus mengembalikan Belgium ke tangga teratas.
Saelemaekers melengkapkan kemenangan bergaya Belgium dengan gol kelima hasil rembatan dari luar kawasan penalti. – AFP