
FOXBOROUGH, Amerika Syarikat: Penolong jurulatih Perancis, Guy Stephan, mengesahkan ketua jurulatih Didier Deschamps akan kembali menyertai skuad Piala Dunia Perancis selepas pulang seketika ke tanah air bagi menghadiri upacara pengebumian ibunya.
“Sudah tentu saya banyak memikirkan Didier. Saya akan bercakap dengannya kemudian, tetapi kami semua amat gembira kerana beliau akan kembali tidak lama lagi dan akan bersama pasukan pada sesi latihan petang esok,” kata Stephan kepada pemberita selepas kemenangan 4-1 Perancis ke atas Norway dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan, pagi tadi (waktu Malaysia).
Deschamps tidak dapat bersama pasukan dalam perlawanan di Stadium Gillette berhampiran Boston kerana menghadiri pengebumian ibunya di barat daya Perancis selepas wanita itu meninggal dunia awal minggu ini.
Bekas kapten Perancis itu dijadualkan melepaskan jawatan sebagai jurulatih Les Bleus selepas berakhirnya Piala Dunia kali ini, sekali gus menamatkan 14 tahun khidmatnya menerajui pasukan kebangsaan.
Ousmane Dembele muncul pemain terbaik perlawanan apabila menjaringkan hatrik pada separuh masa pertama ketika Perancis mudah menewaskan Norway yang menurunkan barisan kedua, sekali gus mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dan menamatkan saingan sebagai juara Kumpulan I dengan kutipan maksimum sembilan mata.
Rakan sepasukan Dembele di Paris Saint-Germain, Desire Doue, menjaringkan satu lagi gol Perancis pada penghujung perlawanan.
“Ousmane sangat tajam hari ini. Menjaringkan tiga gol dalam satu perlawanan Piala Dunia merupakan sesuatu yang luar biasa,” kata Stephan.
“Saya fikir gol Desire ialah tandukan pertama dalam kariernya. Banyak perkara menarik berlaku dalam perlawanan ini dan kami mungkin boleh menjaringkan beberapa gol lagi.
“Norway ialah pasukan yang berkualiti, tetapi mereka tidak menurunkan kesebelasan terbaik.”
“Ia hari yang hebat, dengan banyak gol dan detik menarik, dan para pemain benar-benar menikmatinya,” tambah Stephan yang berusia 69 tahun, merujuk keputusan Norway merehatkan Erling Haaland dan kapten pasukan, Martin Odegaard.
Perancis, juara dunia 2018 dan naib juara 2022, dianggap antara pencabar utama untuk menjulang kejuaraan sebelum kejohanan bermula.
Setakat ini mereka membuktikan status tersebut dan akan meneruskan cabaran ke pusingan 32 terakhir di Stadium MetLife, New Jersey, Selasa depan, menentang sama ada Sweden yang menduduki tempat ketiga Kumpulan F atau pasukan yang menamatkan saingan di tempat ketiga Kumpulan G.
“Kami benar-benar mahukan tempat pertama atas faktor logistik kerana penerbangan selama 45 minit jauh lebih baik berbanding perjalanan tiga atau empat jam ke Dallas,” kata Stephan.
Norway pula akan ke Dallas untuk menentang Ivory Coast selepas menamatkan saingan di tempat kedua kumpulan. – AFP