
HOUSTON, Amerika Syarikat: Pasukan debutan Piala Dunia, Cape Verde, akan menentang juara bertahan Argentina dalam pusingan kalah mati selepas seri tanpa jaringan dengan Arab Saudi sebentar tadi, sekali gus meneruskan perjalanan luar biasa mereka.
Keputusan seri di Houston itu serta kemenangan 1-0 Sepanyol ke atas Uruguay menyaksikan pasukan ranking ke-67 dunia sebelum kejohanan menamatkan saingan sebagai naib juara Kumpulan H di belakang Sepanyol.
Tanpa kalah dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan, negara kepulauan berpenduduk kira-kira 500,000 orang itu akan berdepan Argentina yang diketuai Lionel Messi di Miami pada 3 Julai, dalam satu lagi babak kisah luar biasa mereka.

Sepanyol, yang diikat 0-0 oleh Cape Verde pada perlawanan pertama, menamatkan saingan dengan tujuh mata, manakala Cape Verde mengumpul tiga mata, sementara Uruguay dan Arab Saudi masing-masing pulang dengan dua mata.
Sepanyol akan menentang pasukan yang menduduki tempat kedua Kumpulan J, sama ada Algeria atau Austria.
Dalam perlawanan di Houston itu, jurulatih Cape Verde, Bubista, melakukan beberapa pertukaran dalam kesebelasan utama, sebahagiannya disebabkan faktor kecergasan, namun mengekalkan penjaga gol utama, Vozinha.

Penjaga gol berusia 40 tahun itu sekali lagi menjadi watak penting yang memastikan Cape Verde terus bertahan ketika mencatat keputusan seri bersejarah menentang Sepanyol dalam perlawanan pertama mereka di Piala Dunia.
Cape Verde, negara di pesisir barat Afrika, kemudian mencatat keputusan seri 2-2 menentang Uruguay, juara dunia dua kali sebelum ini.
Keputusan itu membuka peluang luar biasa untuk mara ke peringkat kalah mati menjelang pertemuan dengan Arab Saudi, yang turut masih berpeluang.

Pada masa yang sama di Guadalajara, Sepanyol dan Uruguay bertemu dalam kumpulan yang sangat sengit dan hanya ditentukan pada perlawanan terakhir.
Cape Verde menguasai sedikit permainan pada separuh masa pertama menentang Arab Saudi, yang sebelum ini seri 1-1 dengan Uruguay dan tewas 0-4 kepada Sepanyol.
Arab Saudi menerima tamparan apabila pertahanan berpengalaman, Hassan al-Tambakti, terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan pada minit ke-33.
Sepanyol mendahului pada penghujung separuh masa pertama di Mexico, dan berita itu disambut dengan sorakan penyokong Cape Verde di Houston.

Willy Semedo hampir membuka jaringan, namun percubaannya tersasar, manakala kedua-dua pasukan gagal mencipta peluang berbahaya dalam separuh masa pertama yang tegang.
Ketika itu, Cape Verde berada di landasan untuk mara ke pusingan seterusnya menggantikan Uruguay.
Tiga minit selepas rehat, Jamiro Monteiro berpeluang meledak dari jarak dekat, namun rembatannya lemah, sebelum Kevin Pina melepaskan percubaan jarak jauh yang sedikit tersasar.
Ketegangan semakin memuncak memasuki suku jam terakhir perlawanan, namun Arab Saudi kelihatan kurang kreativiti walaupun memburu gol.

Pada minit ke-75, penjaga gol Mohammed al-Owais menyelamatkan percubaan berbahaya Laros Duarte untuk memastikan Arab Saudi terus bertahan.
Satu mata sudah mencukupi untuk Cape Verde, malah mereka dilihat lebih berpotensi untuk menjaringkan gol ketika perlawanan menghampiri minit-minit akhir. – AFP