PERSATUAN Lawn Tenis Sarawak (SLTA) tidak mahu mengambil keputusan terburu-buru membenarkan pemainnya menyambung semula sesi latihan seperti biasa.
Meskipun, pengumuman dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa Perutusan Khas beberapa hari lepas yang menyebut aktiviti sukan outdoor yang tidak melibatkan sentuhan badan dan perhimpunan ramai dibenarkan sekali gus menjurus kepada sukan seperti badminton atau tenis.
“Kita tidak mahu mengambil risiko kerana mengambil kira situasi yang berlaku sekarang kerana musibah ini belum pulih atau berakhir lagi.
“Lagipun tempoh berlangsungnya temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX Johor 2020 masih jauh. Ada baiknya, tidak perlu bagi kita membenar pemain berlatih,” ujar Dato Patrick ketika mengulas perkara itu.
Katanya, biarlah situasi di luar ketika ini benar-benar selamat kerana tidak mahu sebarang masalah menimpa kepada pemain yang boleh menjejaskan persiapan pasukan.
“Selain itu, kita juga sentiasa mengikuti perkembangan semasa masalah yang berlaku sekarang. Dan saya percaya pihak Kerajaan Negeri Sarawak juga tidak akan membenarkan sebarang aktiviti sukan diadakan sehingga keadaan benar-benar selamat,” tambah beliau lagi.