
KUCHING: Taman Rekreasi Taman Mei Lee di Lorong 6A, Jalan Stakan yang telah dinaik taraf kini diserahkan kepada Majlis Perbandaran Padawan (MPP) untuk tujuan penyelenggaraan selepas projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bernilai RM50,000 siap dilaksanakan.
ADUN Sentosa, Wilfred Yap, berkata projek di bawah peruntukan RTP 2025 itu bertujuan menyediakan kawasan rekreasi yang lebih selamat, menarik dan mesra keluarga kepada penduduk.
Projek yang bermula pada Januari lalu itu dilaksanakan oleh N.A.R. Contractor Works di bawah penyeliaan pasukan kejuruteraan MPP.
Menurut Yap, kerja naik taraf termasuk pembaikan laluan pejalan kaki dan kemudahan awam, peningkatan permukaan kawasan bagi keselamatan pengguna, serta penambahbaikan landskap untuk menggalakkan gaya hidup sihat dan mengeratkan hubungan kejiranan.
Beliau berkata projek infrastruktur berskala kecil seperti itu memberi impak besar dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat.
“Saya gembira melihat taman ini berubah menjadi kawasan rekreasi yang selamat dan selesa untuk keluarga, kanak-kanak serta warga emas menjalankan aktiviti riadah,” katanya ketika majlis penyerahan simbolik.
Yap merakamkan penghargaan kepada pasukan kejuruteraan MPP yang menyelia projek tersebut dari peringkat awal hingga selesai. Selepas penyerahan, semua kerja penyelenggaraan dan pemantauan taman akan dikendalikan sepenuhnya oleh MPP.
Oleh Connie Chieng