
MIAMI: Ketua jurulatih BrazilĀ Carlo Ancelotti memuji Vinicius Junior sebagai “antara pemain terbaik dunia” selepas penyerang itu meledak dua gol ketika Brazil menewaskan Scotland 3-0 pada Rabu, sekali gus meneruskan aksi cemerlangnya di Piala Dunia FIFA 2026, lapor Xinhua.
Pemain berusia 25 tahun itu menjaringkan kedua-dua gol pada babak pertama ketika Brazil mengesahkan kedudukan teratas Kumpulan C dan mara ke pusingan kalah mati.

Ancelotti, yang pernah bekerjasama rapat dengan Vinicius selama empat musim yang menyaksikan pelbagai kejayaan di Real Madrid, berkata beliau tidak pernah meragui kemampuan pemain sayap itu untuk menyerlah di pentas terbesar bola sepak dunia.
“Saya tidak mempunyai sebarang keraguan tentang bagaimana beliau akan tampil pada Piala Dunia ini. Bagi beliau, mewakili Brazil adalah satu penghormatan. Beliau bermain dengan sangat baik dan turut menjaringkan gol menerusi tandukan, sesuatu yang jarang dilakukannya,” kata Ancelotti.
Jurulatih dari Itali itu berkata prestasi semasa Vinicius bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

“Saya tahu apa yang mampu dilakukan Vini. Beliau ialah antara pemain terbaik dunia,” katanya.
Vinicius kini telah menjaringkan empat gol dalam tiga perlawanan di kejohanan itu. Beliau membuka akaun jaringan ketika Brazil seri 1-1 dengan Maghribi sebelum meledak gol sekali lagi dalam kemenangan 3-0 ke atas Haiti.
Dua gol terbaharunya itu meletakkan beliau sebaris dengan penyerang Perancis Kylian Mbappe dan penyerang Norway Erling Haaland dalam perebutan Kasut Emas Piala Dunia. Ketiga-tiga pemain itu hanya ketinggalan satu gol di belakang kapten Argentina, Lionel Messi.- Bernama-Xinhua