
KUCHING: Tindakan pantas pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya mengawal kebakaran melibatkan sebuah mesin bitumen di sebuah kilang di Jalan Demak Laut awal pagi tadi, sekali gus mengelakkan api daripada merebak ke struktur bangunan.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak, panggilan kecemasan diterima pada 4.59 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya, dengan bantuan BBP Padungan, digerakkan ke lokasi kejadian.
Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi pada 5.16 pagi dan mendapati kebakaran hanya melibatkan sebuah mesin bitumen di dalam kawasan kilang milik Ibraco Ascent Sdn Bhd tanpa menjejaskan struktur bangunan.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran Salur Bantu Mula (SBM) daripada jentera bomba serta satu lagi aliran SBM daripada sistem bekalan air kilang.
“Selain mesin bitumen, kebakaran turut melibatkan bahan bitumen yang belum diproses serta bahan kapur yang berada di kawasan berkenaan dengan anggaran kemusnahan sekitar 15 peratus.
“Api berjaya dikawal sepenuhnya pada 5.30 pagi sebelum anggota menjalankan kerja-kerja penyejukan bagi memastikan tiada lagi punca kebakaran yang boleh mencetuskan api semula.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.34 pagi dan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.” katanya.