
JIKA diamati betul-betul, memang banyak Projek Kecil Luar Bandar (MRP) selain Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dilaksanakan oleh wakil rakyat di kawasan masing-masing sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ini berikutan peruntukan besar diberi kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Untuk rekod, setiap ADUN yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS), diberi peruntukan RM5 juta setahun untuk melaksanakan pelbagai projek RTP, manakala setiap Ahli Parlimen GPS juga diberi peruntukan RM2.5 juta setahun oleh kerajaan Sarawak bagi melaksanakan pelbagai Projek Tranformasi Luar Bandar.
Peruntukan besar ini mula diagihkan kepada wakil rakyat – DUN dan Parlimen, sejak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengambilalih kepemimpinan negeri.
Ini bukan bermakna, Ketua Menteri Sarawak sebelum ini tidak memberi peruntukan banyak kepada wakil rakyat untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan.
Hakikatnya, semua ini bermula apabila hasil negeri bertambah sekali ganda berikutan langkah kerajaan Sarawak mengenakan Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas minyak dan gas.
Bukan sahaja Petronas perlu membayar SST, malah syarikat minyak lain seperti Shell dan Murphy Oil.
Sejak diperkenalkan pada Januari 2019, hasil SST telah menjana RM24.77 bilion kepada kerajaan Sarawak.
Unjuran hasil negeri bagi 2025 bagaimanapun berkurangan daripada RM14.201 bilion kepada RM12.076 bilion berikutan ketidaktentuan ekonomi global dan harga komoditi sekali gus memberi tekanan kepada hasil Sarawak.

Hasil jangka panjang pelabuhan
Namun kutipan sebenar mencapai RM12.553 bilion iaitu melebihi sasaran semakan sebanyak RM477 juta. Tetapi angka itu masih besar berbanding hasil negeri sebelum SST diperkenalkan, contohnya pada 2018 hasil yang dikutip ketika itu ialah RM7.2 bilion.
Itu sebab tiada masalah bagi kerajaan Sarawak membayar pampasan RM1.8 bilion bagi pengambilalihan aset Pelabuhan Bintulu yang dilihat sebagai langkah strategik yang mampu memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelaburan global dan memacu pembangunan ekonomi baharu wilayah ini.
Angka RM1.8 bilion itu nampak besar tetapi selepas ini, 100 peratus keuntungan pelabuhan masuk kantung negeri. Bayangkan untuk tahun penuh 2025, Bintulu Port Holdings Bhd mencatat RM822.15 juta hasil operasi dan gas cecair asli (LNG) kekal menjadi penyumbang hasil utama.
Kerana hasil meningkat juga, kerajaan Sarawak mampu membina 21 projek jambatan utama dan 122 projek jambatan luar bandar di bawah Program Transformasi Jambatan Luar Bandar (RBTP), menjadikan jumlah keseluruhan 143 projek jambatan di seluruh negeri.
Sebanyak 21 jambatan utama itu menelan kos RM6.92 bilion termasuk Jambatan Batang Lupar 1 bernilai RM848.7 juta, manakala 122 projek jambatan luar bandar bernilai RM396 juta.
Selama ini, Sarawak kaya hasil bumi tetapi tiada wang untuk membangunkan keperluan rakyat sehinggalah Alllahyarham Pehin Sri Adenan Satem atau Tok Nan ‘mengetuk pintu’ Putrajaya untuk berunding bagi menuntut hak-hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tetapi terhakis.
Hasilnya kini sudah menjelma dengan Sarawak mengenakan cukai SST ke atas produk petroleum dan gas, dan jika tiada aral melintang, industri karbon selain kutipan cukai di udara (spektrum) ke atas syarikat telekomunikasi akan turut dikenakan cukai.
Bila mengalir sahaja gas dan karbon dalam paip, akan dikenakan cukai, begitu juga minyak dan gas di luar pesisir Bumi Kenyalang, dalam jangkauan sejauh 200 batu nautika, bukan 12 batu nautika.
KMKK
Tidak hairanlah dengan peruntukan RM5 juta setahun bagi setiap ADUN, saban hari kita lihat, baca hal projek kecil luar bandar disampai, diumum oleh ADUN terutama di media sosial.
Ini berjalan saban tahun tanpa mengira sama ada pilihan raya diadakan atau tidak.
Selain itu, Kerajaan Pusat pula menyumbang RM2 juta setahun untuk Ahli Parlimen melaksanakan MRP di kawasan masing-masing.
Sebagai tambahan, kerajaan Sarawak memberi dana RM1 juta setahun khusus bagi setiap ADUN dan Ahli Parlimen untuk Program Baikpulih Rumah Rakyat Termiskin di kawasan masing-masing.
Orang ramai terutama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) perlu tahu hal dana ini dan mintalah atau cadang pada YB masing-masing jika ada rumah daif di kampung anda yang perlu dibaiki atau baik pulih.
Pemimpin masyarakat perlu tahu keadaan rumah orang ramai di kawasan masing-masing. Itu tugas anda tanpa perlu menunggu si pemilik rumah memohon, kerana mereka mungkin tidak tahu kewujudan dana seumpamanya.
Cari dan selidik keluarga yang mendiami rumah daif untuk diberi bantuan melalui Program Baikpulih Rumah Rakyat Termiskin.
Untuk projek besar bernilai lebih RM10 juta atau RM50 juta, biarlah wakil rakyat mencadangkan kepada Premier Sarawak untuk pertimbangan.
Oleh itu, wakil rakyat perlu lebih rajin turun padang untuk terus membawa pembangunan di kawasan masing-masing, tak kira sama ada masa pilihan raya atau tidak. Dengar rintihan rakyat dan selesaikan masalah pembangunan di kawasan mereka sebaik mungkin demi kesejahteraan semua.
Jika tidak, rakyat akan menghukum anda bila tiba waktu pilihan raya nanti.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak