PENGENDALI Sarawak United FC, E. Elavarasan memanfaatkan tempoh rehat selama dua minggu dengan mempertajamkan ‘sengat’ jentera penggempur skuad itu sebelum saingan Liga Perdana bersambung, pada 3 April depan.
Beliau percaya, jentera penyudah mereka akan keluar daripada krisis ‘kegagalan’ meletakkan bola ke dalam jaring pasukan lawan menjelang pertemuan menentang TRW Kelantan FC di Stadium Sultan Muhammad Ke-lV Kota Bharu nanti.
Justeru itu, Elavarasan menuntut anak buahnya mengambil peluang keemasan sepanjang tempoh rehat beberapa minggu ini kerana pasukan itu kini berada di landasan terbaik berada di takhta Liga Perdana musim ini.
Beliau turut mengakui pasukan lawan sentiasa berusaha sedaya upaya untuk mengalahkan mereka. Malah katanya mereka akan sentiasa berlumba-lumba untuk muncul sebagai pasukan pertama yang meleburkan rekod tanpa kalah.
Bagi meredakan tekanan tersebut, Elavarasan sentiasa mengarahkan anak-anak buahnya agar terus bekerja keras.
“Perjuangan masih panjang dan kami perlu terus memandang ke depan…berlatih dengan gigih di samping memperbaiki kelemahan, terutamanya di posisi serangan yang dilihat masih tumpul,” ujarnya.
Malah Elavarasan juga menitikberatkan aspek penguasaan bola sebagai antara senjata untuk menjinakkan lawan. Sarawak United terus menaruh harapan tinggi terhadap penjaring terbanyak, Uche Agba serta Norshahrul Idlan Talaha untuk menjaringkan gol.
Elavarasan turut menyifatkan tempoh rehat itu memberi keuntungan kepadanya untuk memperbaiki kelemahan pasukan selepas kali terakhir keputusan terikat 1-1 menentang Terengganu FC II.
Beliau telah merancang mengadakan sekurang-kurangnya satu atau dua perlawanan persahabatan sepanjang tempoh rehat ini bagi memastikan rentak pemain tidak terjejas sebaik saingan Liga Perdana bersambung semula pada 3 April ini.
“Saya tidak mahu menjadikan tempoh beberapa minggu ini sebagai ‘cuti rehat’ sebaliknya akan mengadakan beberapa aksi persahabatan bagi memastikan pasukan kekal cergas menjelang aksi menentang TRW Kelantan FC, 3 April nanti.
“Perancangan mengadakan aksi persahabatan sudah dirancang bagi memastikan barisan pemain tidak hilang momentum perlawanan kompetitif selepas saingan Liga Perdana berakhir beberapa minggu lalu.
“Secara jujur, sememangnya tugas mencabar buat saya sebagai jurulatih bagi memastikan barisan pemain tidak hilang mood perlawanan sebenar memandangkan tempoh dua minggu rehat ini agak lama buat mana-mana pasukan,” ujarnya.
Oleh ADI SAFARMAN