
MUKAH: Dua lelaki, termasuk seorang warga asing, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Mukah hari ini atas pertuduhan memiliki dadah dan memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan.
Kedua-dua tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Mukah kira-kira 9.00 pagi hari ini di hadapan Majistret Oon Kork Chern. Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.
Pegawai pendakwa, Inspektor Mohd Nazri Harissman Daee memohon tarikh baharu bagi sebutan kes sementara menunggu laporan kimia barang kes disiapkan
Mahkamah membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan 3 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Mahkamah turut membenarkan tertuduh pertama diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan dua penjamin tempatan.
Sementara itu, tertuduh kedua yang merupakan warga asing tidak dibenarkan jaminan dan diperintahkan ditahan di Penjara Sibu sehingga tarikh sebutan semula kes.
Terdahulu, kedua-dua tertuduh masing-masing berusia 34 dan 32 tahun ditahan polis dalam satu serbuan di tempat letak kenderaan hadapan sebuah kedai menjual alat perkakasan di Jalan Pasar Lama, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, tangkapan dilakukan kira-kira 10.30 pagi oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah hasil maklumat yang diterima.
Menurutnya, pemeriksaan terhadap suspek pertama yang merupakan warga tempatan menemui satu paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu.
“Pemeriksaan terhadap suspek kedua yang merupakan warga asing tidak menemui sebarang barang salah, namun kedua-dua suspek kemudiannya dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut.
“Dadah yang dirampas dianggarkan seberat 0.82 gram,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek yang bekerja sebagai kru kapal positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Suspek pertama disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana memasukkan dadah ke dalam badan.
Sementara itu, suspek kedua disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Oleh Akun Giman