

SIBU: Sebuah unit rumah panjang di Rumah (Rh) Udin, Sungai Sengan di sini musnah kira-kira 80 peratus dalam kejadian kebakaran pagi tadi.
Dalam kejadian sekitar 10.52 pagi itu, kebakaran turut menjejaskan hampir 50 peratus sebuah lagi unit rumah bersebelahan, namun berjaya dikawal daripada merebak ke unit-unit lain di rumah panjang berkenaan yang mempunyai lapan pintu keseluruhannya.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10.52 pagi sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya dengan bantuan BBP Sungai Merah ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba tiba di lokasi mendapati kebakaran melibatkan unit rumah di pintu nombor dua sebuah rumah panjang.
“Kebakaran telah memusnahkan kira-kira 80 peratus struktur unit berkenaan serta menjejaskan hampir 50 peratus unit rumah di pintu nombor tiga yang bersebelahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran hos sepanjang 200 kaki dengan satu pancutan nozel serta satu aliran salur bantu mula.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 11.24 pagi, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.
Setakat laporan dikeluarkan, kerja-kerja overhaul masih dijalankan bagi memastikan tiada punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
Oleh Akun Giman