Penjaga gol Brazil, Alisson Becker, ketika aksi Piala Dunia menentang Haiti, dengan jersinya kini menjadi subjek perdebatan politik di Brazil. — Foto AFP
MORRISTOWN, Amerika Syarikat: Pemilihan jersi penjaga gol Brazil pada Piala Dunia 2026 mencetuskan perdebatan politik apabila warna merah yang sebelum ini diluluskan digugurkan dan digantikan dengan hijau.
Penjaga gol Brazil, Alisson Becker, dijadual memakai jersi merah ketika menentang Scotland, namun Persekutuan Bola Sepak Brazil (CBF) memilih warna hijau yang dianggap lebih mencerminkan warna bendera negara itu.
Warna kuning dan hijau skuad Brazil sejak beberapa tahun lalu dikaitkan dengan penyokong bekas presiden kanan, Jair Bolsonaro, manakala warna merah pula sinonim dengan golongan kiri dan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.

Presiden CBF, Samir Xaud, menafikan keputusan itu bermotifkan politik, sebaliknya mahu mengutamakan warna kebangsaan Brazil.

Isu warna jersi turut membahagikan penyokong di negara itu apabila ada yang mengelak memakai jersi kuning-hijau kerana dikaitkan dengan Bolsonaro, manakala penyokong kiri memakai jersi merah tidak rasmi.

Lula sebelum ini menggesa rakyat Brazil memakai warna kuning dan hijau bagi mengelakkan warna kebangsaan negara itu dimonopoli oleh mana-mana kelompok politik. – AFP