Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Bayangan Pengantin
  • WBS

Bayangan Pengantin

Utusan Sarawak 5 hours ago

IZWAN, seorang jejaka yang sekian lama terperangkap dalam dunia pengangguran, akhirnya tekad melangkah mencari rezeki di perantauan dan Miri menjadi pilihannya.

Angin yang bertiup dari pantai Miri seakan membawa cerita yang tersendiri, seiring langkah Izwan yang sarat harapan dan mimpi. Miri baginya sebuah kanvas yang hidup.

Langitnya luas terbentang, berbisik dalam bahasa yang hanya difahami oleh hati yang sunyi. Di balik semua keindahan itu, tersimpan satu misteri, lembut namun menggamit.

Pada suatu petang, saat langit Miri mula berlabuh dengan cahaya jingga yang mencium garis laut, Izwan melangkah perlahan-lahan di sekitar pusat bandar. Derapan kasutnya bergema lembut di atas kaki lima yang retak dan usang, seiring dengan desir angin yang membawa haruman laut dan sedikit debu kenangan.

Burung camar berterbangan di langit. Matanya yang pada mulanya hanya ingin menikmati senja, tertancap pada sebuah bangunan lama. Bangunan itu berdiri sunyi, kusam dengan cat mengelupas dan lumut menjalar. Tingkap-tingkapnya pecah dan dibiarkan terbuka.

Di salah satu tingkap di tingkat atas, berdiri sesosok tubuh wanita. Anggun, berpakaian serba putih, melambai-lambai ditiup angin petang. Dia tidak bergerak. Kaku seperti patung porselin.

Rambutnya hitam pekat, panjang, dan meliuk mengikut irama angin, seolah turut bersedih bersama senja. Wajahnya… tidak jelas. Diselubungi bayang dan kabus lembut yang entah datang dari mana.

Namun entah bagaimana, kehadirannya menggetarkan sesuatu dalam diri Izwan. Ada rasa yang aneh. Resah, kagum, dan hairan bercampur menjadi satu. Izwan terpaku.

Waktu seolah membeku. Deruan angin, bunyi enjin dari jalan utama, dan laungan kanak-kanak di taman berdekatan. Semua lenyap. Yang tinggal hanyalah dia, bangunan itu, dan wanita misteri di tingkap. Dengan langkah ragu-ragu, dia cuba mendekati bangunan itu.

Akan tetapi, belum sempat dia menghampiri, kelibat wanita itu hilang. Hilang seperti ditiup angin petang. Tanpa jejak, tanpa bayang. Seolah-olah dia hanyalah ilusi senja yang mengusik jiwa.

Sejak hari itu, Izwan tidak dapat melupakan kelibat wanita berbaju putih yang dilihatnya di bangunan usang itu. Bayangan itu sering datang dalam mimpinya, membuatkan hatinya gelisah dan ingin tahu. Izwan mula kembali ke bangunan itu.

Bukan sekali, bukan dua kali, tetapi hampir setiap hari. Dia mencari dan menunggu. Bertanya kepada penjaja tempatan, kepada pengawal bangunan bersebelahan, bahkan kepada kanak-kanak yang bermain di kawasan itu.

Hampa, tiada siapa tahu siapa yang dia maksudkan. Seolah-olah wanita itu tidak pernah wujud kecuali dalam fikirannya.

Akhirnya, usaha itu berbalas. Waktu itu petang yang mendung, saat awan berarak rendah dan angin pantai membawa bau hujan, Izwan melihatnya sekali lagi.

Di bawah pohon tua di hadapan bangunan usang itu, wanita itu berdiri, tenang dan senyap seperti hari pertama dia ditemui. Dia tampil anggun, tenang dan misteri. Namanya Bunga.

Bunga memiliki pesona yang sukar dijelaskan. Lembut suaranya, manis senyumannya. Izwan terus jatuh hati. Tanpa mengambil masa lama, dia melamar Bunga. Mereka berkahwin tidak lama kemudian.

Satu pertemuan yang cepat berubah menjadi ikatan cinta, tanpa banyak persoalan. Tanpa tahu siapa Bunga sebenarnya.Sebulan setelah kejadian itu, Izwan pulang ke kampungnya. Izwan tiba di kampungnya dengan wajah yang tenang, tetapi ada sesuatu yang berbeza. Sesuatu yang hanya mampu dirasakan, namun tidak mampu dijelaskan.

Dia memeluk ibunya, Mak Joyah. Pelukan itu terasa dingin, tidak sehangat dahulu. Adiknya menyambut kepulangannya dengan gelak tawa, tetapi Izwan hanya membalas dengan senyuman nipis.

Hari-hari awal di kampung berjalan seperti biasa. Namun begitu, keriangan itu tidak lama. Perubahan Izwan mula jelas dari minggu ke minggu. Dia cepat tersinggung walaupun ditegur secara lembut.

Pernah suatu pagi, hanya kerana lauk sambalnya terlebih masin, dia menghempas pinggan ke lantai. Mak Joyah yang terkejut hanya mampu terkedu, tidak mampu berkata apa-apa.

Adik bongsunya, Amran yang selama ini paling rapat dengannya menjadi mangsa pertama kegilaannya. Adiknya sedang menikmati sebiji popia yang ditinggalkan di atas meja makan.

Belum sempat dia mengunyah sepenuhnya, satu tangan melayang pantas ke pipinya. Terasa hangat, perit, dan meninggalkan kesan merah yang serta-merta membakar kulitnya.

Dia terpinga-pinga, tergamam. Izwan berdiri di hadapan, matanya tajam menyorot seperti singa yang terganggu, suaranya garau penuh amarah, “Siapa benarkan kau makan aku punya?”

Sejak hari itu, semua ahli keluarga mula menjauh, takut akan emosi Izwan yang tidak menentu. Lebih aneh, kadang-kadang Izwan bercakap sendirian di belakang rumah, atau duduk merenung ke hutan waktu senja dengan mata yang kosong.

Pernah sekali, Mak Joyah melihat anaknya tersenyum dan mengangguk-angguk kepada sesuatu… tetapi di sana hanya ada bangku kayu dan angin petang yang meniup daun kering. Dia juga mula mengasingkan diri dari solat berjemaah, mengelak dari ke surau walaupun ayahnya memujuk.

Ada suatu malam, semasa semua orang sedang lena, suara perempuan mengilai perlahan kedengaran dari bilik Izwan.

Ayahnya cuba membuka pintu, tetapi pintu itu terkunci dari dalam. Keesokan paginya, Izwan bertindak seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Dia menyapa seperti biasa, malah sempat bertanya jika sarapan sudah tersedia.

Namun, mata Mak Joyah menangkap bayangan kehitaman di bawah mata anaknya, seakan dia tidak tidur. Kemuncak kegilaan itu berlaku pada suatu petang yang mendung.

Amran hanya tersalah letak telefon Izwan yang dicas di dapur. Izwan menjerit dan menumbuk muka adiknya hingga berdarah. Mak Joyah yang menyaksikan kejadian itu hanya mampu menjerit,

“Izwan, apa yang dah jadi dengan kau, nak?”

Izwan tidak menjawab. Matanya merah berurat, nafasnya turun naik seperti sedang bertarung dengan sesuatu dalam dirinya.

Suatu petang yang tenang, ketika matahari mula merendah di ufuk langit, datang seorang gadis bernama Hana, anak kepada jiran lama yang pernah tinggal bersebelahan rumah Mak Joyah.

Sudah bertahun mereka tidak bertemu, dan kehadiran Hana membawa sedikit kelegaan dan kegembiraan buat wanita tua itu yang sejak akhir-akhir ini dirundung resah melihat perubahan anak sulungnya.

Mak Joyah menyambut mesra Hana di pintu. “Hana, dah besar panjang kau sekarang. Macam anak dara dah!” katanya sambil menepuk lembut bahu Hana.

Hana hanya tersenyum kecil, tetapi senyumannya itu tidak mampu menutupi getaran dalam hatinya sebaik sahaja kaki kanannya melangkah ke dalam rumah.

Matanya, seolah-olah secara refleks, terus tertancap pada sosok Izwan yang duduk diam di ruang tamu. Akan tetapi, bukan Izwan yang benar-benar menarik perhatiannya tetapi sesuatu yang lain. Sesuatu yang berdiri rapat di sebelah lelaki itu.

Di sisi Izwan berdiri sesosok wanita tua, bukan wanita biasa. Wajahnya hodoh dan mengerikan, seakan-akan wajah yang telah lama reput dimamah usia, penuh lipatan kedut dan cela.

Matanya terbeliak merah menyala, tidak berkedip, menyorot tajam ke arah Hana seolah-olah tahu bahawa Hana mampu melihatnya. Rambutnya kusut masai, panjang hingga ke lantai, dan mulutnya meleret dengan senyuman nipis yang menakutkan.

Hana terkaku. Seluruh tubuhnya kaku bagaikan disimbah ais. Dia berdiri membatu untuk beberapa saat sebelum segera mengumpul kekuatan untuk berpura-pura tenang. Nafasnya ditarik dalam-dalam, dan dia mengukir senyum palsu sambil melangkah masuk.

“Lama tak jumpa, mak cik,” katanya, cuba menyembunyikan ketakutannya di sebalik nada ceria yang dibuat-buat.

Sepanjang perbualan, Hana duduk bertentangan Mak Joyah di ruang tamu, sambil sesekali mencuri pandang ke arah entiti menyeramkan yang tidak berganjak di sisi Izwan. Ia hanya berdiri di situ, seolah-olah memantaunya.

Mak Joyah terus bercerita itu dan ini, tentang kampung, tentang kenangan lama, dan tentang Izwan yang kurang sihat sejak pulang ke rumah. Hana hanya mengangguk, kepalanya berat, fikirannya ligat mencari peluang untuk menyampaikan sesuatu.

Beberapa minit kemudian, dengan alasan mahu melihat kebun kecil di belakang rumah, Hana bangun dan mengajak Mak Joyah keluar bersamanya.

“Mak cik, sayur yang mak cik pernah tanam dah banyak ke? Jom tengok kat luar. Hana nak tengok keadaan kebun sayur mak cik,” kata Hana sambil menyimpan kerisauan dalam suaranya.

Mak Joyah menurut dan mereka melangkah keluar, berjalan perlahan-lahan ke halaman. Sebaik mereka cukup jauh dari pintu rumah, Hana berpaling serius ke arah wanita itu, wajahnya kini tidak lagi menyimpan senyum.

“Mak cik… saya rasa saya tahu kenapa Izwan berubah macam tu,” bisiknya perlahan, penuh maksud. Wajah Hana serius, nadanya perlahan tetapi tegas. “Ada ‘benda’ tak elok dekat dengan Abang Izwan, mak cik. Waktu saya masuk tadi… saya nampak. Muka dia buruk, mata merah menyala, macam bukan manusia. Dia berdiri rapat sangat dengan Abang Izwan.”

Mak Joyah terdiam seketika. Matanya terbeliak kecil, tetapi dengan cepat dia menggeleng. “Hana, jangan main cakap ya. Izwan tu anak mak cik… dia tak pernah kacau orang. Dia baik. Dia cuma penat. Tekanan kerja. Mungkin sebab tu dia berubah sikit. Tapi mak cik yakin, Izwan tetap Izwan.”

“Tapi mak cik…” Hana cuba bersuara. Hampa. Dipotong oleh Mak Joyah.

“Mak cik tak percaya benda-benda macam ni. Orang selalu salah sangka bila nampak orang berubah. Izwan tu anak sulung mak cik. Mana mungkin dia buat salah, apatah lagi terlibat dengan benda-benda macam tu. Kalau dia mengamuk pun, itu sebab orang lain yang salahkan dia dulu.” Suara Mak Joyah mula meninggi sedikit, nada membela yang kuat kedengaran jelas.

Hana tunduk, menelan keluhan yang hampir terluah. Dia tahu sukar untuk seorang ibu menerima kebenaran yang pahit terutama apabila ia tentang anak yang paling disayangi. Tapi nalurinya kuat mengatakan bahawa masa semakin suntuk dan Izwan… tidak boleh terus dibiarkan begitu.

Mak Joyah menghela nafas panjang, berat dan perlahan. Wajahnya kelihatan letih, tetapi dia tetap berusaha mengekalkan nada suaranya tenang. “Hana… balik je lah. Terima kasihlah ya datang melawat,” katanya sambil memaksa senyum. Namun jelas di matanya, ada sesuatu yang sedang mengusik hatinya.

Hana tidak membantah. Dia tahu bila waktunya perlu berundur. “Baik mak cik… jaga diri ya.” Dengan langkah perlahan dan hati yang berat, Hana berlalu pergi, sesekali menoleh ke belakang, memandang Izwan dari jauh yang masih duduk termenung di dalam rumah.

Sejurus pintu ditutup, Mak Joyah duduk di ruang tamu. Sunyi. Hanya bunyi kipas berputar dan nafasnya yang sesekali tersekat. Kata-kata Hana berulang-ulang dalam kepalanya. “Ada benda tak elok dekat dengan Abang Izwan.” Dia menggeleng, cuba menolak keraguan itu, tapi hatinya semakin berat. “Kalau betul Hana main-main, kenapa rasa hati ni lain sangat?” Dia memandang ke arah bilik Izwan yang tertutup. Nafasnya terputus-putus kecil, seperti ada sesuatu yang menghimpit dada. Perubahan anaknya terlalu drastik, jauh lebih daripada sekadar tekanan kerja.

Seketika kemudian, dia terdengar bunyi seperti bisikan halus dari bilik Izwan. Bulu romanya meremang. Bunyi itu tidak jelas, tetapi cukup untuk membuatkan hati seorang ibu berasa resah. Lama dia berdiri di hadapan pintu bilik Izwan, mendengar. Sesekali terdengar suara Izwan seperti bercakap… tetapi dengan siapa?

Tangannya hampir menyentuh tombol pintu, tetapi dia mengundur. Nafasnya ditarik panjang. Dalam diam, kata-kata Hana berlegar-legar di minda. Mak Joyah menelan air liur.

Jiwanya berperang, dilema antara mahu membela anak sendiri atau menerima hakikat yang anaknya mungkin benar-benar sedang ‘diganggu’. Akhirnya, dia membuat keputusan.

Tanpa berlengah, keesokan paginya, Mak Joyah membawa Izwan bertemu seorang ahli perubatan Islam yang terkenal di kampung sebelah. Dia dikenali dengan nama Kiai Halim.

Seorang yang dikenali bukan sahaja kerana ilmunya, tetapi juga kerana kesederhanaannya dalam menyantuni mereka yang memerlukan. Kiai Halim menyambut Izwan dengan tenang, memerhati gelagatnya yang agak resah dan matanya yang kelihatan seperti menyimpan ribuan cerita yang tidak terungkap.

Sesi rawatan pertama bermula dengan bacaan ayat-ayat suci. Suasana dalam bilik terasa berat. Tubuh Izwan menggeletar, peluh membasahi dahinya walau kipas ligat berputar.

Saat Kiai Halim membacakan Surah al-Baqarah, Izwan menjerit nyaring, suaranya berubah, garau dan dalam seperti bukan miliknya. Tangannya mencakar lantai, dan dia cuba melepaskan diri.

Mak Joyah hanya mampu menangis, menekup mulutnya sambil memejam mata, tidak sanggup melihat penderitaan anak sulungnya itu.

Beberapa sesi seterusnya berlangsung lebih tenang. Sedikit demi sedikit, perubahan pada Izwan mula ketara. Dia mula bersuara lembut semula, tidak lagi menengking atau mengamuk.

Dia mula solat dengan lebih tekun, menatap wajah ibunya dengan mata yang kembali bersinar. Bahkan, dia menangis ketika memohon maaf kepada adiknya. Satu detik yang membuatkan seluruh rumah sunyi dalam rasa sebak.

Menurut Kiai Halim, entiti bernama “Bunga” yang sering disebut Izwan ialah makhluk bunian yang terpikat dengan Izwan sewaktu dia berada di Miri. Makhluk itu telah ‘mengikat’ Izwan secara ghaib, mencipta ilusi perkahwinan dan membawanya jauh dari dunia nyata, membiarkan dirinya hanyut dalam bayang-bayang cinta palsu yang penuh tipu daya. Dengan izin Allah, rawatan itu telah memutuskan ikatan ghaib tersebut, dan sejak itu, “Bunga” tidak lagi menampakkan diri. Seolah-olah lenyap, hilang ditelan dimensi lain.

Di sebalik kelegaan yang dirasai, Mak Joyah menyimpan satu rahsia yang tidak pernah dia kongsikan kepada sesiapa. Tidak kepada Kiai Halim dan tidak juga kepada anaknya yang lain. Hakikatnya, sebelum Izwan ke Miri, dia pernah terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Bukan sehari dua, tetapi berbulan lamanya. Ketagihannya menyebabkan perubahan sikap, halusinasi, dan mimpi ngeri yang kadangkala sukar dibezakan daripada realiti.

Simptom-simptom itu mirip kepada perkara yang berlaku setelah dia pulang dari Miri iaitu kemarahan tanpa sebab, bercakap seorang diri, dan berkelakuan aneh.

Mak Joyah keliru. Adakah semua ini benar-benar berpunca daripada gangguan makhluk halus, atau sekadar kesan mental dan fizikal daripada sejarah kelam yang cuba dikuburkan Izwan?

Apakah benar Hana melihat makhluk itu? Bagaimana pula dengan suara yang didengarinya?

Banyak persoalan yang berada dalam minda Mak Joyah. Namun sebagai seorang ibu, dia memilih untuk mempercayai bahawa anaknya telah diselamatkan, sama ada daripada dunia ghaib atau kegelapan jiwanya sendiri.

Bagi Izwan pula, dia tidak pernah lupa wajah Bunga, suara lembutnya, dan senyuman yang pernah membuatkan dia rebah tanpa sedar.

Dia tidak tahu sama ada itu benar-benar makhluk dari alam lain, atau cuma manifestasi dari ketakutan dan penyesalan yang telah lama terpendam. Hanya satu yang pasti, dia telah kembali dan dia tidak mahu lagi berpatah semula.

Oleh Dayangku Nabila

Continue Reading

Previous: Memperindah Sajak yang Disulam dengan Pengalaman Batin

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.