Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEKNOLOGI
  • M-FICORD pacu transformasi agro berasaskan inovasi dan AI
  • TEKNOLOGI

M-FICORD pacu transformasi agro berasaskan inovasi dan AI

Utusan Sarawak 5 hours ago
AMANAT… Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom ketika berucap pada pada majlis Gala dan Penyampaian Anugerah Inovasi sempena Mini Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat M-FICORD 2026 semalam. Foto UKAS

KUCHING: Sektor agro Sarawak tidak boleh lagi bergantung kepada pendekatan kerja secara konvensional jika mahu kekal berdaya saing dalam landskap ekonomi yang semakin mencabar dan dipacu teknologi.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, kementeriannya komited mempercepatkan transformasi sektor berkenaan menerusi pendekatan berasaskan hasil, inovasi serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh industri makanan dan komoditi negeri.

Beliau berkata, setiap perancangan dan program yang dilaksanakan perlu memberi tumpuan kepada pencapaian hasil yang jelas, terukur serta memberi impak langsung kepada pembangunan sektor pertanian dan makanan Sarawak.

“Apabila kita merancang sesuatu, ia bukan sekadar untuk merancang. Pada akhirnya, hasil yang dicapai adalah perkara paling penting. Jika sasaran tidak dapat dicapai, kita perlu menilai semula dan melakukan penambahbaikan,” katanya.

KENANGAN…Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom bersama tetamu kehormat yang lain merakam gambar kenangan pada majlis Gala dan Penyampaian Anugerah Inovasi sempena Mini Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat M-FICORD 2026 semalam. Foto UKAS

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Gala dan Penyampaian Anugerah Inovasi sempena Mini Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat M-FICORD 2026 di sini, semalam.

Menurut beliau, inovasi dan kreativiti perlu menjadi budaya kerja dalam kalangan warga kementerian serta agensi di bawah M-FICORD bagi memastikan pembangunan sektor agro terus berkembang selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Katanya, penggunaan teknologi baharu termasuk AI perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan kecekapan operasi, produktiviti dan mutu penyampaian perkhidmatan.

“Penambahbaikan hanya dapat dilihat melalui hasil. Untuk menghasilkan keputusan yang lebih baik, kita perlu menyesuaikan dan mengadaptasi teknologi baharu. Itulah satu-satunya cara,” tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata sektor agro Sarawak perlu bergerak ke arah pertanian pintar, pembangunan agropark dan pelaksanaan konsep ekonomi kitaran bagi meningkatkan produktiviti serta nilai tambah industri.

JABATAN Pertanian Sarawak muncul juara Mini Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat M-FICORD 2026 dengan membawa pulang RM1,500, manakala Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS) meraih tempat kedua dan ketiga. Foto UKAS

Pada masa sama, beliau menekankan kepentingan memastikan produk tempatan memenuhi standard kualiti yang konsisten, lestari dan berdaya saing di pasaran global melalui penyelidikan serta pengkomersialan produk berasaskan sumber tempatan.

Beliau turut menggesa agar hasil penyelidikan yang dilaksanakan oleh institusi dan agensi berkaitan dapat diterjemahkan kepada produk komersial bernilai tinggi yang mampu menembusi pasaran antarabangsa.

Menurutnya, kejayaan agenda transformasi agro Sarawak bergantung kepada kekuatan kerja berpasukan, kecekapan pelaksanaan serta budaya kerja yang berteraskan rasa tanggungjawab dan tindakan segera dalam kalangan warga kementerian.

Mini Konvensyen KIK M-FICORD 2026 menghimpunkan sembilan kumpulan inovasi yang bersaing untuk dipilih mewakili kementerian ke peringkat seterusnya, sekali gus menjadi platform memperkukuh budaya inovasi dan penambahbaikan berterusan dalam organisasi.

Pada majlis tersebut, Jabatan Pertanian Sarawak muncul juara menerusi projek inovasi terbaik dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS) meraih tempat kedua dengan hadiah RM1,300, manakala tempat ketiga menjadi milik DVSS yang menerima RM1,000.

Kejayaan itu mencerminkan komitmen berterusan agensi di bawah M-FICORD dalam memperkukuh budaya inovasi dan penambahbaikan berterusan bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta menyokong agenda transformasi sektor agro Sarawak.

Oleh Norman B

Tags: Teknologi

Continue Reading

Previous: Sarawak perluas kerjasama antarabangsa dengan Jerman dalam inovasi dan AI

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.