
KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia) Sarawak menjalin kerjasama strategik dengan Persatuan Komuniti Pemancing Sarawak (PKPS) bagi memperkukuh keselamatan maritim.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim, Mohd Khairi Abdul Aziz berkata, komuniti pemancing merupakan rakan strategik dalam memperkukuh jaringan keselamatan maritim di peringkat akar umbi.
“Komuniti pemancing merupakan antara kelompok masyarakat yang paling hampir dengan persekitaran maritim dan mempunyai pengetahuan mendalam mengenai keadaan perairan tempatan.
“Melalui kerjasama ini, mereka bukan sahaja berperanan sebagai mata dan telinga Maritim Malaysia, malah menjadi rakan strategik dalam mempercepatkan penyaluran maklumat berkaitan kecemasan, kemalangan serta aktiviti yang menyalahi undang-undang di laut.
“Keselamatan maritim memerlukan penglibatan aktif seluruh komuniti bagi memperkukuh kesiapsiagaan serta melindungi keselamatan dan kedaulatan perairan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nota Kerjasama Strategik itu dimeterai di Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS), Ibu Pejabat Maritim Negeri Sarawak semalam.
Kerjasama itu merangkumi perkongsian maklumat, program kesedaran keselamatan maritim, latihan keselamatan di laut serta aktiviti kemasyarakatan.
Ia turut melibatkan penubuhan dan pengiktirafan Pasukan Sukarelawan Carilamat Maritim Negeri Sarawak yang dianggotai ahli PKPS.
Pasukan berkenaan akan membantu Maritim Malaysia menyalurkan maklumat awal berkaitan kecemasan, kemalangan dan operasi mencari serta menyelamat (SAR), terutama di kawasan pesisir pantai, muara sungai dan lokasi tumpuan pemancing.