Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • ‘Saya kembali’ – Ronaldo balas pengkritik
  • SUKAN

‘Saya kembali’ – Ronaldo balas pengkritik

Utusan Sarawak 5 hours ago
Aksi Cristiano Ronaldo ketika Portugal membelasah Uzbekistan 5-0 dalam aksi Kumpulan K Piala Dunia 2026 di Houston, sekali gus menjadi pemain pertama dalam sejarah yang menjaringkan gol dalam enam edisi Piala Dunia.

HOUSTON: Cristiano Ronaldo melaungkan “Saya kembali” dan menegaskan mereka yang terus mengkritiknya tidak sepatutnya menganggap kariernya sudah berakhir selepas mencipta sejarah Piala Dunia ketika Portugal membelasah Uzbekistan 5-0 di Houston, awal pagi tadi.

Penyerang berusia 41 tahun itu yang menerima tekanan hebat susulan aksi hambar dalam kejohanan utama kebelakangan ini, hanya memerlukan enam minit untuk menjaringkan gol dan menjadi pemain pertama dalam sejarah yang meledak gol dalam enam edisi Piala Dunia.

Ronaldo kemudian menambah gol kedua sebelum rehat ketika anak buah Roberto Martinez berpesta gol menentang Uzbekistan yang gagal memberi tentangan sengit.

Prestasi cemerlang itu jauh berbeza berbanding aksi hambar ketika Portugal seri 1-1 dengan Republik Demokratik Congo dalam perlawanan pembukaan, di mana Ronaldo dilihat bergelut dan kurang menyerlah.

Keputusan itu mencetuskan desakan supaya Martinez menggugurkan kapten veteran itu, sekali gus menyebabkan Ronaldo, jurulatih dan pasukan menerima kritikan hebat di Portugal.

Ronaldo menjerit ke arah kamera televisyen sambil berkata: “Saya kembali, saya kembali.”

“Saya boleh katakan ia minggu yang sangat sukar, minggu yang mencabar, minggu di mana pandangan umum sangat keras terhadap kami, terhadap semua pemain dan terutama jurulatih.

“Tetapi ia sentiasa begini. Saya sudah 23 tahun sebagai pemain profesional dan setiap kali keadaan tidak menjadi, orang akan berkata, ‘Cristiano sudah habis, dia sudah tua’.

“Namun, ini adalah jawapan terbaik daripada saya dan rakan sepasukan, itulah yang kami mahukan,” katanya.

Ronaldo, penjaring terbanyak antarabangsa lelaki dengan 145 gol, sering dibandingkan dengan seteru lamanya, Lionel Messi, selain penyerang ternama lain seperti Kylian Mbappe, Erling Haaland dan Harry Kane sepanjang Piala Dunia kali ini.

Apabila ditanya sama ada beliau akhirnya “menyertai pesta” di Amerika Utara, Ronaldo berkata:

“Saya sentiasa tiba, walaupun sedikit lambat, tetapi saya tetap ada.

“Saya hanya perlu terus bekerja kerana saya benar-benar percaya dengan apa yang saya lakukan.

“Karier saya sentiasa seperti ini dan ia tidak akan berubah.”

Beliau turut meminta Martinez dan rakan sepasukan supaya mengabaikan segala kritikan luar.

“Kami tahu apabila tidak bermain baik atau tidak menang, kami akan sentiasa diserang, terutama saya.

“Tetapi seperti yang saya katakan sebelum ini, saya sudah biasa dan akan teruskan perjuangan,” katanya.

‘Dia juga manusia’

Martinez yang terus memberi kepercayaan kepada Ronaldo berkata beliau memahami reaksi emosi bekas bintang Manchester United dan Real Madrid itu selepas tamat perlawanan.

“Dia seorang manusia. Dia berhak mempunyai emosi dan perasaan,” katanya.

Jurulatih dari Sepanyol itu turut memuji dedikasi dan semangat Ronaldo yang membolehkannya terus beraksi pada usia lanjut.

“Saya tidak pernah bekerja dengan pemain yang memiliki kemampuan seperti ini. Apa pun yang berlaku hari ini, esok dia akan menjadi pemain yang paling lapar untuk terus memperbaiki diri,” katanya mengenai Ronaldo yang kini beraksi di Arab Saudi.

Jurulatih Uzbekistan, Fabio Cannavaro, yang pernah menjulang Piala Dunia bersama Itali pada 2006, menyifatkan Ronaldo sebagai antara pemain terbaik dalam sejarah bola sepak.

“Sebagai pertahanan, anda perlu sangat bijak apabila berdepan dengannya kerana jika anda memberikan walau satu sentimeter ruang dalam kotak penalti, anda sudah mati,” katanya. – AFP

Continue Reading

Previous: Kerja paling ‘rare’, dibayar RM235,000 hanya untuk tengok Piala Dunia
Next: Colombia tewaskan DR Congo 1-0, sah mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.