
BETONG: Kehadiran seekor ular cincin emas sepanjang kira-kira 0.61 meter di sebuah kawasan tempat kerja di Jalan Melaban mencetuskan kebimbangan pekerja sebelum berjaya ditangkap oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Betong, pagi tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten Mohammad Noor Ini berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 9.56 pagi selepas pengadu ternampak reptilia berkenaan berada di lokasi tempat kerjanya.
Menurutnya, sepasukan tiga anggota APM segera digerakkan ke lokasi pada 10.16 pagi menggunakan sebuah kenderaan JMC LRV dan tiba hanya empat minit kemudian bagi menjalankan operasi menangkap ular tersebut.

“Setibanya di lokasi, anggota terus melakukan pencarian di sekitar kawasan yang dimaklumkan oleh pengadu sebelum berjaya mengesan seekor ular cincin emas sepanjang 0.61 meter,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata ular itu berjaya ditangkap menggunakan teknik menyepit dengan bantuan peralatan khas seperti penyepit, penjerut dan kotak ular bagi memastikan operasi berjalan dengan selamat.
Operasi yang disertai tiga anggota APM itu selesai pada 10.35 pagi tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Kapten Mohammad Noor turut menasihatkan orang ramai supaya tidak cuba menangkap sendiri reptilia yang ditemui dan segera menghubungi pihak berkuasa bagi mengelakkan risiko dipatuk atau berlaku kemalangan yang boleh mengancam keselamatan.
Oleh Adi Safarman