
SIBU: Kejayaan kerajaan Sarawak mengambil alih pengurusan Pelabuhan Bintulu dengan bayaran pampasan RM1.8 bilion kepada Kerajaan Persekutuan menjadi bukti kukuh keupayaan negeri ini mengurus kewangan secara berintegriti, telus dan berakauntabiliti.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato Dr Juanda Jaya berkata, kemampuan Sarawak menyediakan dana yang besar untuk pengambilalihan aset strategik tersebut lahir daripada amalan tadbir urus kewangan yang baik dan berdisiplin.
Menurutnya, integriti dalam pengurusan dana awam membolehkan kerajaan negeri memiliki kedudukan kewangan yang kukuh serta bersedia untuk diaudit pada bila-bila masa.
“Dua atau tiga hari lalu, kerajaan Sarawak membayar RM1.8 bilion bagi mengambil alih Pelabuhan Bintulu. Jumlah itu amat besar, tetapi kita mampu membayarnya kerana mempunyai integriti, pengurusan kewangan terbaik dan akauntabiliti.
“Kita tidak takut untuk diperiksa kerana setiap perbelanjaan dan pengurusan wang dibuat secara telus,” katanya ketika merasmikan Kursus Modul Integriti Kepimpinan Masyarakat (MIKM) Tahap 2 Siri 8 dan Tahap 3 Siri 2 bagi Zon Tengah 2026 di Hotel Li Hua, di sini, hari ini.
Juanda berkata, pembangunan yang pesat tidak akan memberi manfaat kepada rakyat sekiranya pemimpin gagal mengamalkan integriti dalam pentadbiran.
Sehubungan itu, beliau menggesa Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) menjadi ejen penyebar budaya integriti di peringkat akar umbi agar seiring dengan usaha kerajaan melaksanakan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Katanya, ketirisan dan penyalahgunaan peruntukan masih boleh berlaku sekiranya nilai integriti hanya difahami oleh pemimpin tertinggi tanpa diterapkan kepada pemimpin komuniti.
“Pembangunan fizikal yang kita sasarkan menjelang 2030 mesti bergerak seiring dengan pembangunan mentaliti masyarakat serta rasa tanggungjawab dalam menjaga kemudahan yang disediakan kerajaan,” katanya.
Menyentuh mengenai MIKM, katanya, program itu sehingga kini telah melibatkan kira-kira 1,400 peserta dari 15 daerah di seluruh Sarawak dalam usaha memperkukuh budaya integriti dalam kalangan pemimpin masyarakat.
Sementara itu, kursus tiga hari itu dianjurkan dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia, Pejabat Residen Sibu, Sarikei dan Mukah, serta Pejabat Daerah Sibu, Pakan, Daro dan Matu.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Chieng Jin Ek, wakil Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak di Jabatan Premier Sarawak Wan Hipni Wan Mohamad, Pengarah Pusat Pembangunan Integriti Komuniti Institut Integriti Malaysia Zarina Mohamad Amin, Timbalan Residen Bahagian Sarikei yang juga wakil Residen Bahagian Sarikei Shafrie Saili, wakil Pegawai Daerah Sibu Cynthia Ong Hshiang Ping, wakil Pegawai Daerah Pakan Watson Manggat Keley, wakil Pegawai Daerah Matu Harlina Mahiji dan Temenggong Stanley Geramong Bandar.
Oleh Tarani Lanting