30 saman dikeluarkan dalam Ops Bersepadu Lubok Antu dekat Engkilili

Facebook
WhatsApp
SEBANYAK 30 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas yang dikesan dalam Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah IPD Lubok Antu. Foto IPD Lubok Antu

LUBOK ANTU, 16 Oktober: Polis Daerah Lubok Antu terus mempergiat usaha membanteras jenayah dan meningkatkan keselamatan awam menerusi pelaksanaan Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah yang dilancarkan di Lebuh Raya Pan Borneo, dekat Engkilili semalam.

Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP Pricha Azin berkata operasi tersebut dilaksanakan bagi menurunkan kadar jenayah indeks, mencegah serta membanteras aktiviti jenayah dan penyalahgunaan dadah, selain memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang lalu lintas.

Menurut beliau, operasi yang diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah, Inspektor Rodi Wong melibatkan seramai 17 pegawai dan anggota polis daripada pelbagai cawangan serta pangkat.

“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 180 buah kenderaan dan 205 individu telah diperiksa. 

“Hasil pemeriksaan itu, sebanyak 30 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas yang dikesan dalam sekatan jalan raya yang didirikan pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai langkah proaktif bagi memastikan keselamatan, keamanan dan ketenteraman masyarakat di Daerah Lubok Antu sentiasa terpelihara daripada sebarang ancaman jenayah.

“Kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu pihak polis mengekalkan keamanan dan keselamatan kawasan setempat,” ujarnya.

Operasi bersepadu itu turut memperlihatkan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan pematuhan undang-undang serta mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk seluruh masyarakat.

Oleh Adi Safarman