
MIRI: Majlis Makan Malam Gawai Dayak anjuran Persatuan Wartawan Sarawak Utara (NSJA) terus menjadi platform penting dalam mengukuhkan hubungan persahabatan dan semangat setiakawan dalam kalangan pengamal media di wilayah utara Sarawak.
Presiden NSJA, Chai Chon Chin, berkata majlis tahunan itu bukan sekadar sambutan perayaan, malah berperanan sebagai medium untuk merapatkan hubungan sesama wartawan daripada pelbagai organisasi media dan latar belakang.
Menurut beliau, wartawan sering berdepan cabaran tugas yang menuntut komitmen tinggi, termasuk memenuhi tarikh akhir, membuat liputan di kawasan geografi yang luas serta menyesuaikan diri dengan perubahan landskap media yang semakin pantas.
“Peluang seperti ini membolehkan kita berehat seketika daripada tanggungjawab harian, mengeratkan semula hubungan sesama rakan media serta menghargai semangat solidariti yang menjadi asas profesion kewartawanan,” katanya ketika berucap pada majlis Makan Malam Gawai Dayak NSJA 2026 di sini, malam tadi.
Chai berkata, kekuatan NSJA bukan sahaja terletak pada peranan ahlinya sebagai wartawan, tetapi juga pada hubungan dan kerjasama yang terjalin dalam komuniti media.

“Melalui sokongan bersama, kerjasama profesional dan perkongsian pengalaman, kita terus menjunjung nilai kewartawanan yang bertanggungjawab sambil berkhidmat kepada masyarakat di seluruh Sarawak Utara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata NSJA terus komited memperkukuh pembangunan profesional, kebajikan serta penglibatan ahli menerusi pelbagai program dan aktiviti yang dianjurkan sepanjang tahun.
Beliau turut menegaskan kepentingan peranan media dalam memupuk perpaduan masyarakat berbilang kaum, budaya dan agama di Sarawak melalui penyampaian laporan yang membina serta menggalakkan persefahaman antara komuniti.
Pada majlis sama, beliau merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur yang diketuai Clare Cinderella atas usaha menjayakan program tersebut.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Miri yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man, atas sumbangan hadiah kepada semua ahli NSJA sebagai tanda sokongan terhadap persatuan itu.
Majlis tersebut dihadiri ahli-ahli NSJA serta pengamal media daripada pelbagai organisasi yang bersama-sama meraikan sambutan Hari Gawai dalam suasana penuh muhibah dan perpaduan.
Oleh Liong Chai Ling