KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi negara menjadi kunci utama untuk membolehkan kerajaan menjelaskan hutang, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata pemulihan ekonomi Malaysia telah mula dilihat susulan langkah dasar yang efektif dengan sektor eksport negara kekal berdaya maju, berkembang selari dengan pemulihan perdagangan global.
“Peningkatan semula ekonomi dunia bermaksud nilai komoditi lebih tinggi memandangkan ia merupakan komponen utama perdagangan negara.
“Susulan pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur, penggunaan domestik juga akan meningkat semula,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata ditambah dengan pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang tersusun, langkah hadapan secara bersasar serta pematuhan prosedur operasi standard yang ketat, ekonomi Malaysia kini teguh bergerak ke arah pemulihan dan pengukuhan ekonomi pada 2021.
Organisasi seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan ekonomi Malaysia bangkit semula tahun ini dengan pertumbuhan masing-masing pada kadar 5.6 hingga 6.7 peratus dan 6.5 peratus.
Tengku Zafrul juga berkata bagi jangka sederhana dan panjang, kerajaan komited terhadap konsolidasi fiskal melalui Strategi Hasil Jangka Sederhana dan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana.
“Akta Tanggungjawab Fiskal yang dicadangkan akan mengkaji secara komprehensif dan memperkukuh rangka kerja fiskal jangka sederhana, antara lain dengan mengutamakan perbelanjaan, menambah baik kerangka cukai, mengetatkan penguatkuasaan dan meminimumkan ketirisan,” katanya.
Beliau berkata penekanan kerajaan pada masa ini adalah melonjakkan ekonomi, serta menangani masalah struktur demi pertumbuhan dan ketahanan sosio-ekonomi.
“Sekiranya kita perlu menanggung lebih banyak hutang untuk menyokong rakyat dan perniagaan, yakinlah, kerajaan akan menguruskannya dengan komitmen yang tegas dan telus terhadap disiplin fiskal,” katanya.
Beliau berkata hutang adalah satu keperluan untuk menyelamatkan pekerjaan dan menyokong perniagaan malah tindakan luar jangka oleh kerajaan serata dunia telah mendorong kenaikan ketara defisit fiskal dan hutang kerajaan susulan krisis yang ditimbulkan pandemik Covid-19.
Tengku Zafrul berkata menurut IMF, sebanyak AS$14.0 trilion telah dibelanjakan oleh kerajaan serata dunia untuk melindungi nyawa dan meneruskan kelangsungan hidup.
Ini menyebabkan jumlah stok hutang kerajaan di serata dunia melonjak kepada sekitar 100 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global berbanding unjuran sebelum Covid-19 sebanyak 84 peratus sahaja pada Oktober 2019, katanya.
Beliau berkata bagi Malaysia, tindakan pantas dan proaktif kerajaan dalam memberi respons dasar melalui empat pakej rangsangan ekonomi bernilai RM305 bilion — membantu mengurangkan kadar pengangguran daripada 5.3 peratus pada Mei 2020 kepada 4.9 peratus pada Januari 2021. – Bernama