
KOTA SAMARAHAN: Seorang wanita berusia 31 tahun ditahan selepas dipercayai menikam suaminya menggunakan pisau dalam satu pertengkaran rumah tangga di sebuah bilik sewa di Taman Unigardens, Jalan Datuk Mohd Musa, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, DSP Barry William, berkata pihak polis menerima maklumat daripada Pusat Jantung Kota Samarahan kira-kira 6.50 petang mengenai seorang lelaki yang sedang menerima rawatan akibat kecederaan tikaman di bahagian perut selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan dengan isterinya.
“Hasil siasatan mendapati mangsa yang merupakan seorang mekanik berusia 35 tahun dan suspek adalah pasangan suami isteri yang sah serta mempunyai tiga orang anak. Namun mereka telah tinggal berasingan lebih dua tahun akibat masalah rumah tangga,” katanya.
Menurut siasatan, mangsa datang ke rumah sewa suspek dan didakwa memukul kepala wanita itu menggunakan topi keledar kerana cemburu serta menuduh suspek mempunyai hubungan dengan lelaki lain.
“Susulan pertengkaran tersebut, suspek masuk ke dalam rumah dan mengambil sebilah pisau. Suspek mendakwa dia melibas pisau itu bagi menghalang mangsa daripada menghampirinya sebelum terkena pada bahagian perut mangsa,” katanya.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Pusat Jantung Kota Samarahan dan menjalani pembedahan.
Polis memaklumkan sebahagian usus mangsa terkeluar akibat kecederaan tersebut, namun tiada kecederaan lain pada organ dalaman. Mangsa masih menerima rawatan dan berada di bawah pemantauan doktor.
Barry berkata, suspek turut mengalami kecederaan di kepala dan mendapatkan rawatan di hospital. Wanita itu ditahan oleh pengawal keselamatan sebelum ditangkap oleh pihak polis.
Polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut bagi membantu siasatan.
“Suspek telah direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya,” katanya.
Oleh Connie Chieng