
KUCHING: Utusan Sarawak secara rasminya dipilih sebagai rakan media rasmi bagi penganjuran Cat City International Bike Week 2026 (CCIBW 2026) yang dijadual berlangsung pada 28 Oktober hingga 1 November 2026 di kawasan Parkir Stadium Negeri Sarawak, Petra Jaya.
Presiden Kelab Cat City Motorsport, Abang Nor Nasaruddin berkata, pemilihan Utusan Sarawak sebagai rakan media rasmi diyakini mampu membantu memperluaskan hebahan serta meningkatkan promosi acara berprestij kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Katanya, kerjasama strategik itu amat penting bagi memastikan maklumat berkaitan CCIBW 2026 dapat disampaikan secara meluas, sekali gus menarik lebih ramai pengunjung, peserta dan peminat motosikal dari dalam serta luar negara.
“Utusan Sarawak mempunyai jaringan pembaca yang luas serta berpengalaman dalam membuat liputan pelbagai acara berskala besar. Justeru, kami yakin kerjasama ini akan memberi impak positif terhadap usaha mempromosikan CCIBW 2026,” katanya.
Beliau turut berharap kolaborasi tersebut dapat membantu mengangkat lagi imej Kuching sebagai destinasi acara permotoran bertaraf antarabangsa, selain menyumbang kepada pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.
CCIBW 2026 dijangka menghimpunkan ribuan peserta serta pengunjung dari pelbagai negara menerusi pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran motosikal, konvoi, pertandingan dan program komuniti yang berkaitan dengan dunia permotoran.
Oleh Shahrul Qaizat