
PHILADELPHIA, Amerika Syarikat: Perlawanan Piala Dunia antara Perancis dan Iraq ditangguhkan pada waktu rehat separuh masa sebentar tadi susulan amaran cuaca buruk, manakala para penyokong diarahkan mendapatkan perlindungan berikutan ancaman ribut petir yang menghampiri kawasan stadium.

Seorang pegawai FIFA berkata, perlawanan yang berlangsung di Philadelphia dan bermula pada 9.00 malam GMT itu ditangguhkan sekurang-kurangnya selama 30 minit, termasuk tempoh rehat separuh masa yang dijadualkan selama 15 minit.
Perancis mendahului 1-0 ketika rehat dalam aksi Kumpulan I hasil jaringan Kylian Mbappe pada minit ke-14.

Perlawanan bermula dalam keadaan cuaca baik sebelum hujan mula turun menjelang penghujung separuh masa pertama. Sebaik wisel rehat dibunyikan, para penyokong dimaklumkan supaya meninggalkan kawasan tempat duduk terbuka dan mendapatkan perlindungan di kawasan stadium yang berbumbung.
Sebahagian besar daripada kapasiti 68,324 tempat duduk di Lincoln Financial Field, yang dinamakan semula sebagai Stadium Philadelphia sempena kejohanan itu, tidak mempunyai bumbung. Keadaan tersebut menyebabkan sebahagian besar penyokong berhimpun di ruang legar stadium untuk berlindung daripada hujan dan ribut yang menghampiri.

Insiden itu merupakan perlawanan pertama dalam edisi Piala Dunia kali ini yang ditangguhkan akibat ancaman cuaca buruk, dengan protokol keselamatan yang ketat dikuatkuasakan di Amerika Syarikat apabila ribut dikesan di kawasan sekitar.
Beberapa perlawanan dalam Piala Dunia Kelab yang berlangsung di Amerika Syarikat tahun lalu turut mengalami kelewatan berikutan keadaan cuaca buruk. – AFP