
OVIEDO, Sepanyol: Mahkamah Agung Sepanyol menjatuhkan hukuman penjara 24 tahun tiga bulan terhadap bekas Menteri Pengangkutan Jose Luis Abalos atas kesalahan rasuah berkaitan pembelian pelitup muka semasa pandemik COVID-19, pada Isnin lapor Anadolu Ajansi.
Keputusan itu merupakan penghakiman pertama dalam apa yang dikenali sebagai kes Koldo, skandal rasuah besar yang menggoncang Parti Sosialis pimpinan Perdana Menteri Pedro Sanchez dan mencetuskan pelbagai siasatan berkaitan.
Mahkamah mensabitkan Abalos, bekas sekutu rapat Sanchez dan bekas setiausaha organisasi Parti Sosialis yang memerintah, atas kesalahan menganggotai pertubuhan jenayah, menerima rasuah, pecah amanah serta menyalahgunakan pengaruh.
Bekas penasihat Abalos, Koldo Garcia, turut dijatuhi hukuman penjara melebihi 19 tahun. Ahli perniagaan Victor de Aldama pula dihukum penjara empat tahun enam bulan, namun tidak perlu menjalani hukuman segera sekiranya mematuhi syarat tertentu.
Pendakwa raya berhujah yang ketiga-tiga lelaki itu membentuk rangkaian jenayah yang menggunakan kedudukan Abalos sebagai Menteri Pengangkutan untuk meraih keuntungan haram melalui kontrak awam yang dianugerahkan ketika pandemik.
Mahkamah mendapati sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan Aldama memperoleh kontrak membekalkan 13 juta pelitup muka kepada dua entiti pengangkutan milik kerajaan semasa pandemik.
Hakim turut memutuskan yang Abalos menerima €10,000 (sekitar AS$11,600) setiap bulan hasil skim itu, selain dua wanita yang mempunyai hubungan dengan bekas menteri itu turut diambil bekerja oleh syarikat awam.
Menurut keputusan mahkamah, Aldama menyediakan kediaman dan pelbagai manfaat lain kepada Abalos serta individu yang rapat dengannya, termasuk pangsapuri di Madrid dan selatan Sepanyol. Mahkamah mendapati sebahagian manfaat itu turut berkaitan dengan tindakan melibatkan pelan penyelamatan syarikat penerbangan Air Europa dan pemberian lesen hidrokarbon.
Kes itu menjadi antara skandal rasuah yang paling menjejaskan Kerajaan Sanchez, walaupun Abalos dipecat daripada Parti Sosialis selepas dikaitkan dengan siasatan berkenaan.
Skandal Koldo kemudiannya berkembang melangkaui kontrak perolehan berkaitan pandemik dan kini melibatkan siasatan berasingan berhubung dakwaan manipulasi kontrak kerja awam, komisen haram serta pembayaran tunai yang disyaki membabitkan tokoh politik kanan.
Skandal itu turut menyumbang kepada kejatuhan Santos Cerdan, pengganti Abalos sebagai setiausaha organisasi Parti Sosialis, yang kini berdepan siasatan berasingan.
Parti pembangkang berulang kali menggunakan isu itu untuk mendesak Sanchez membubarkan parlimen dan mengadakan pilihan raya lebih awal. – Bernama