
KUCHING: Seorang pengasuh wanita berusia 41 tahun ditahan selepas seorang ibu membuat laporan polis mendakwa anak lelakinya dipercayai menjadi mangsa penderaan.
Bayi lelaki berusia dua bulan itu dipercayai mengalami kecederaan ketika berada di bawah jagaan pengasuh sehingga menyebabkan pendarahan di otak dan kerap mengalami sawan.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi ketika dihubungi mengesahkan bahawa polis menahan seorang wanita tempatan berusia 41 tahun pada 20 Jun, sehari selepas menerima laporan polis berhubung kejadian tersebut.
Ibu bayi itu yang mengambil anaknya pada 18 Jun menyedari terdapat kesan lebam yang jelas di bahagian kanan dahi bayi berkenaan dan terus bertanyakan perkara itu kepada pengasuh terbabit.
Keadaan bayi itu kemudian semakin merosot selepas dibawa pulang apabila dia muntah dan mengalami sawan.
Keluarga mangsa segera membawanya ke Hospital Umum Sarawak, di mana dia ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) dan dipercayai mengalami keretakan tengkorak serta pendarahan otak.
Mohd Irwan berkata, polis kini menjalankan siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang berkaitan dengan pengabaian oleh ibu bapa atau penjaga sehingga mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda sehingga RM50,000 atau kedua duanya sekali.
Suspek telah direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Oleh Connie Chieng