PENGENDALI Sarawak United FC, E. Elavarasan akui ketumpulan jentera serangan menggagalkan hasrat pasukannya untuk meraih tiga mata ke atas Terengganu II (TFC II) pada aksi Liga Perdana di Stadium Hang Jebat, Melaka malam kelmarin.
Jurulatih berusia 56 tahun itu berkata, mereka banyak mencipta peluang baik untuk menjaringkan gol namun disia-siakan dan terpaksa akur dengan keputusan seri 0-0.
Terengganu II katanya, dilihat bermain degan baik bagi mengekang asakan dan strategi Sarawak United dalam perlawanan malam itu.
“Saya rasa kedua-dua pasukan pasti tidak gembira dengan keputusan ini. Kalau kita lihat keseluruhan perlawanan, kedua-dua pasukan pun merasakan dapat menjaringkan gol,” kata Elavarasan selepas perlawanan itu.
Elavarasan turut memuji permainan Terengganu II yang diakuinya nampak lebih kemas pada babak pertama, sekali gus menyukarkan pasukan bimbingannya memecah masuk untuk menyerang.
“Perbezaannya adalah dalam babak pertama Terengganu II nampak lebih kemas, fahaman antara pemain mereka bagus, dan kita hendak memecah masuk ke kawasan Terengganu susah.
“Pada babak kedua, apabila kita melakukan pertukaran, kita berjaya menyeimbangkan perlawanan, dan kita mula bermain dengan lebih baik. Cuma penyudah kita tumpul,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sarawak United FC dan TFC II melebarkan rekod tanpa kalah masing-masing selepas seri 0-0 pada aksi Liga Perdana di Stadium Hang Jebat, Melaka malam itu.
Diberi tentangan sengit pelawat yang mengintai ruang untuk mengejutkan tuan rumah, namun usaha mereka gagal mencalar rekod kemenangan skuad dari Bumi Kenyalang itu.
Malah tiga percubaan TFC II pada minit ke-21, m-31 dan m-32 menerusi Muhammad Nur Azfar Fikri, Engku Muhammad Nur Syakir dan Muhammad Shafik Ismail namun berjaya diselamatkan penjaga gol Mohd Sarbinee Allawee selain terkena tiang gol Sarawak United.
Malah pelawat menguasai penghujung babak pertama menerusi gerakan menarik barisan tengah mereka sehingga membuka ruang buat Syakir melakukan rembatan pada minit ke-39 namun diselamatkan Sarbinee.
Peluang terbaik anak buah E Elavarasan hadir pada minit ke-10 namun percubaan Uche Agba dan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-45 gagal menewaskan penjaga gol TFC II, Mohd Suhaimi Husin.
Babak kedua memperlihatkan aksi lebih agresif buat Sarawak United untuk memburu jaringan, namun percubaan kencang Tommy Mawat Bada pada minit ke-60 berjaya ditepis Mohd Suhaimi.
Selebihnya, usaha kedua-dua pasukan tidak membuahkan hasil walaupun memiliki beberapa peluang terhidang namun gagal dimanfaatkan dengan jaringan.
Keputusan terbabit menyaksikan Sarawak United unggul tanpa tewas menerusi empat perlawanan dengan mengumpul 10 mata, sementara lawan juga yang belum kecundang meraih 7 mata daripada lima perlawanan.
Oleh ADI SAFARMAN