
NEW YORK: Permukaan padang di stadium yang bakal menjadi venue perlawanan akhir Piala Dunia pada 19 Julai kini mencetuskan perdebatan selepas hanya beberapa perlawanan berlangsung, dengan timbul persoalan sama ada arena di East Rutherford merupakan pilihan paling sesuai untuk menjadi tuan rumah aksi kemuncak itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pemain tengah Perancis, Adrien Rabiot berkata permukaan padang itu terasa lebih seperti rumput tiruan, manakala beberapa pemain dan jurulatih lain turut menyifatkannya sebagai terlalu keras.
Bagaimanapun, FIFA menegaskan kepada dpa bahawa padang di kesemua 16 stadium Piala Dunia berada dalam “keadaan cemerlang dari segi kualiti padang dan keselamatan pemain.”
Menurut badan induk bola sepak dunia itu, penyelidikan dan ujian telah dijalankan selama lebih lima tahun dengan kerjasama pakar rumput terkemuka serta pengendali stadium.
Penyerang Brazil, Vinícius Júnior turut menyuarakan kebimbangan selepas perlawanan pertama daripada lapan aksi Piala Dunia yang dijadual berlangsung di East Rutherford, yang terletak di pinggir New York.
Pemain Real Madrid itu berkata keadaan padang menyukarkan permainan kerana cuaca panas menyebabkan rumput cepat kering, sekali gus memperlahankan rentak perlawanan selepas keputusan seri 1-1 menentang Maghribi pada 13 Jun.
Jurulatih Norway, Stale Solbakken pula berpendapat keadaan mungkin berubah sekiranya hujan turun kerana permainan berpotensi menjadi lebih pantas.
Beliau menjelaskan bahawa padang itu berbeza daripada kebanyakan padang lain dan mempunyai permukaan yang sangat keras.
Sementara itu, jurulatih Perancis, Didier Deschamps berkata bola melantun dengan cara yang berbeza di atas padang berkenaan.
Ketika Perancis menewaskan Senegal 3-1 dalam perlawanan kedua yang berlangsung di stadium East Rutherford, beberapa bahagian padang kelihatan tidak sekata apabila dilihat dari jauh.
Namun FIFA menegaskan bahawa “perbezaan visual pada sesetengah permukaan padang, sama ada menerusi siaran televisyen atau pemerhatian secara langsung, tidak semestinya mencerminkan kualiti, keadaan sebenar atau kesesuaian permukaan padang itu untuk perlawanan.” – Bernama