Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Pejabat Ahli Parlimen Stampin terus bantu pembangunan SK Sacred Heart, gesa MPP tangani masalah perparitan Kampung Sudat
  • TEMPATAN

Pejabat Ahli Parlimen Stampin terus bantu pembangunan SK Sacred Heart, gesa MPP tangani masalah perparitan Kampung Sudat

Utusan Sarawak 6 hours ago
JORDAN Soo menyerahkan cek kepada SK Sacred Heart bagi pihak Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen untuk aktiviti sekolah.

KUCHING: Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin YB Chong Chieng Jen, Jordan Soo Tien Ren berkata, pejabat Ahli Parlimen Stampin akan terus memberi perhatian dan membantu keperluan pembangunan serta infrastruktur sekolah, selain menggesa Majlis Perbandaran Padawan (MPP) menangani masalah perparitan di Kampung Sudat.

Mewakili Chong di SK Sacred Heart, Jordan menyerahkan cek peruntukan bagi membantu sekolah menganjurkan aktiviti tahunan serta membeli peralatan dron.

Beliau berkata, sekolah merupakan asas penting dalam pembangunan komuniti, khususnya di peringkat sekolah rendah yang memainkan peranan besar dalam membentuk persekitaran pembelajaran dan perkembangan kanak kanak.

JORDAN Soo menunjukkan longkang yang dipenuhi daun dan serpihan.

“Dalam kemampuan kami, pejabat Ahli Parlimen Stampin akan terus bekerjasama rapat dengan sekolah dan memberikan bantuan praktikal mengikut keperluan supaya para pelajar dapat belajar dalam persekitaran yang lebih lengkap, moden dan selesa,” katanya.

Menurut Jordan, pejabat Ahli Parlimen Stampin sebelum ini turut menyalurkan televisyen pintar kepada sekolah bagi meningkatkan kemudahan pengajaran dan pengalaman pembelajaran dalam bilik darjah. Selain itu, kemudahan seperti dispenser air juga akan disediakan secara berperingkat untuk kemudahan pelajar dan guru.

Beliau berkata, peruntukan terbaru itu turut merangkumi bantuan pembelian peralatan dron sebagai usaha menggalakkan pendidikan berasaskan teknologi dan aktiviti sekolah.

“Pendidikan perlu seiring dengan perkembangan zaman. Dengan kemajuan teknologi yang pesat, sekolah juga perlu diberi peluang untuk memiliki peralatan moden supaya pelajar dapat memupuk minat terhadap teknologi, inovasi dan pembelajaran praktikal sejak usia muda.

“Anak anak kita tidak boleh ketinggalan. Pendidikan teknologi tidak seharusnya menjadi keistimewaan sekolah bandar atau sekolah yang mempunyai lebih banyak sumber. Melabur dalam pendidikan bermakna melabur untuk masa depan anak anak kita,” katanya.

Jordan berkata, pejabat Ahli Parlimen Stampin akan terus memberi perhatian terhadap keperluan sebenar sekolah, termasuk peralatan pengajaran, kebajikan pelajar dan pembangunan kampus.

“Pendidikan bukan sekadar slogan. Ia memerlukan sokongan jangka panjang yang berterusan dan praktikal. Kami akan terus berhubung dengan pihak sekolah, memahami masalah yang dihadapi dan membantu sedaya upaya,” katanya.

Sementara itu, Jordan turut menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan sistem perparitan di Kampung Sudat yang diperhatikannya ketika dalam perjalanan pulang selepas lawatan ke sekolah tersebut.

Beliau berkata, longkang di kawasan itu kelihatan tidak diselenggara dengan baik apabila sampah sarap dan kelodak menghalang aliran air, selain berdepan masalah reka bentuk sistem saliran.

“Ada longkang yang terlalu cetek dan tidak mampu menampung aliran air yang mencukupi. Apabila hujan lebat berlaku, air tidak dapat dialirkan dengan cepat, sekali gus menjadi antara punca banjir kilat yang berulang di kawasan tersebut serta menjejaskan fungsi keseluruhan sistem saliran,” katanya.

Beliau menggesa MPP menjalankan pemeriksaan tapak dengan segera, membersihkan longkang sedia ada serta menilai semula reka bentuk dan kapasiti sistem saliran di kawasan tersebut. Jika perlu, kerja naik taraf harus dilaksanakan bagi mengelakkan masalah berulang.

Jordan turut menyeru pihak berkuasa tempatan supaya mengambil pendekatan proaktif dengan mengenal pasti kawasan berisiko tinggi, khususnya berhampiran sekolah, kawasan perumahan dan jalan utama.

Oleh Connie Chieng

Continue Reading

Previous: Industri tembikar Sarawak perlu diberi nafas baharu, warisan budaya berisiko lenyap
Next: Bayi lelaki dua bulan cedera di bawah jagaan pengasuh, alami pendarahan otak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.