
BAU: Gabungan Parti Sarawak (GPS) masih memberi tumpuan kepada agenda pembangunan negeri dan belum memikirkan soal Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ketika ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau sendiri tidak mengetahui bila pilihan raya negeri akan diadakan kerana kerajaan negeri masih sibuk melaksanakan pelbagai agenda pembangunan yang sedang dirancang.
“Saya pun tidak tahu bila pilihan raya negeri. Jadi saya tidak dapat menjawab soalan itu kerana saya masih sibuk dengan hal lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sambutan Gawai Dayak di Dewan Suarah Bau Bau, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kenyataan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn yang memuji prestasi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep, memberi bayangan bahawa penyandang kerusi tersebut akan sekali lagi mewakili GPS pada PRN akan datang.
Mengulas lanjut, Abang Johari bagaimanapun enggan memberikan sebarang petunjuk mengenai perkara itu sambil menyifatkan masih terlalu awal untuk membincangkan soal pilihan raya.
“Beri bayangan pun susah juga. Belum ada apa-apa lagi. Jangan kecoh dulu, biar Negeri Sembilan kecoh, Johor kecoh, kita jangan kecoh dulu,” katanya berseloroh.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan kerajaan negeri kini memberi keutamaan kepada pelaksanaan pelbagai projek pembangunan serta inisiatif ekonomi yang sedang dirancang bagi memastikan pertumbuhan berterusan dan kesejahteraan rakyat Sarawak.