
KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan penganjuran Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026.
Beliau berkata, kejayaan sambutan tahun ini merupakan hasil kerjasama erat pelbagai pihak dalam menjayakan empat acara tonggak iaitu Bazar Gawai, Festival Budaya Etnik, Perarakan Niti Daun serta Majlis Makan Malam Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026.

Menurut beliau, sambutan bertemakan ‘Segulai Sejalai’ itu berjaya menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang dalam suasana penuh muhibah sekali gus memperlihatkan semangat perpaduan, keharmonian dan kebersamaan yang menjadi kekuatan rakyat Sarawak.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 berkata, semangat yang dipamerkan sepanjang sambutan membuktikan bahawa kepelbagaian budaya mampu menjadi asas penting dalam memperkukuh hubungan antara masyarakat di negeri ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi atas kesudian menghadiri acara-acara utama sambutan serta sokongan berterusan terhadap usaha memelihara dan memartabatkan warisan budaya masyarakat Dayak.

Penghargaan khas turut dizahirkan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas sokongan padu serta peruntukan dana kerajaan Sarawak yang menjadi pemangkin kepada kejayaan penganjuran Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026.
Beliau juga berterima kasih kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, atas kesudian menghadiri Majlis Makan Malam Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 yang mencerminkan penghormatan dan pengiktirafan terhadap kepelbagaian budaya yang menjadi identiti Sarawak.
Dalam kenyataan itu, Uggah turut memberikan penghargaan kepada Datuk Dr Penguang Manggil selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengelola serta Datuk Majang Renggi, Datuk Jefferson Jamit Unyat dan Datuk Gerald Rentap Jabu atas kepimpinan, komitmen dan dedikasi mereka dalam menjayakan acara-acara utama sambutan.
Beliau berkata, kejayaan setiap program yang dianjurkan tidak mungkin dapat dicapai tanpa kerjasama erat semua pihak yang terlibat sepanjang proses perancangan dan pelaksanaan.
Penghargaan yang sama turut ditujukan kepada semua wakil rakyat, senator, ketua-ketua jabatan, agensi kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan, KMKK serta ahli-ahli jawatankuasa pelaksana yang memainkan peranan penting dalam memastikan setiap program dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.
“Syabas dan terima kasih juga kepada seluruh Jawatankuasa Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026, pasukan keselamatan, petugas media, para penaja, sukarelawan serta semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan sambutan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kejayaan sambutan tersebut membuktikan bahawa semangat Segulai Sejalai terus subur dalam kalangan rakyat Sarawak serta menjadi asas penting dalam memperkukuh perpaduan dan keharmonian yang dinikmati negeri ini.
Uggah turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh masyarakat Dayak dan rakyat Sarawak yang telah bersama-sama memeriahkan setiap acara yang dianjurkan serta menyumbang kepada kejayaan sambutan tahun ini.
“Semoga semangat Segulai Sejalai terus menjadi pegangan kita dalam membina Sarawak yang maju, makmur dan sejahtera,” katanya.
Oleh Adi Safarman