
KUCHING: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) membuka permohonan bagi Program Latihan Unreal Engine untuk Permainan 2026 sebagai usaha melahirkan lebih ramai bakat pembangunan permainan digital dalam kalangan anak Sarawak.
Program intensif selama lima hari itu dijadual berlangsung di TEGAS Digital Village (TDV), Kuching dari 10 hingga 14 Ogos depan menerusi kerjasama dengan EFXCO Academy, sebuah pusat latihan yang diiktiraf sebagai Pusat Latihan Bertauliah Unreal bagi tahun 2026.
Program tersebut menyasarkan penyertaan 20 individu terpilih dalam kalangan bakat kreatif Sarawak dengan fokus kepada pembangunan permainan digital, prototaip pantas dan reka bentuk interaktif menggunakan teknologi masa nyata.
Pengerusi TEGAS, Datuk Len Talif Salleh berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen TEGAS dalam memacu inovasi industri kreatif negeri melalui pembangunan kemahiran Unreal Engine yang menepati piawaian antarabangsa.
Menurutnya, program itu bukan sahaja menyediakan peluang kepada bakat tempatan untuk menceburi kerjaya teknikal berpendapatan tinggi, malah berpotensi melahirkan usahawan yang mampu menubuhkan studio pembangunan permainan serta menghasilkan harta intelek (IP) tempatan.
“Program ini turut menyokong Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), khususnya dalam aspek pendidikan, pembangunan modal insan dan inovasi digital.
“Melalui inisiatif ini, TDV terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab latihan teknologi interaktif serantau yang menyediakan laluan praktikal kepada bakat tempatan untuk berkembang dalam industri permainan global,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kurikulum program memberi penekanan kepada penggunaan Unreal Engine 5 merangkumi reka bentuk tahap interaktif, integrasi aset digital, pembangunan pengawal pemain, kesan visual menggunakan kerangka Niagara, kecerdasan buatan (AI), antara muka pengguna dinamik serta pengesanan audio.
Peserta juga akan menghasilkan projek permainan seram tiga dimensi yang boleh dimainkan sebagai tugasan akhir sebelum menerima sijil penyertaan yang diiktiraf komuniti global Unreal Engine.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EFXCO Academy, Hussin Khan berkata pihaknya teruja meneruskan kerjasama dengan TEGAS dalam memperkasakan kemahiran pembangunan permainan digital di Sarawak.
Beliau berkata, penggunaan sistem Blueprint visual scripting membolehkan peserta membangunkan idea kreatif tanpa perlu menguasai pengekodan yang kompleks.
Permohonan program kini dibuka dengan keutamaan diberikan kepada individu daripada latar belakang kurang mendapat peluang atau berdepan kekangan kewangan.
Maklumat lanjut dan pendaftaran boleh diperoleh menerusi laman sesawang rasmi TEGAS dan EFXCO Academy.