Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Gelombang haba ekstrem landa Eropah, sekolah ditutup dan perkhidmatan kereta api dikurangkan
  • GLOBAL

Gelombang haba ekstrem landa Eropah, sekolah ditutup dan perkhidmatan kereta api dikurangkan

Utusan Sarawak 10 hours ago
SEORANG wanita menyejukkan diri di sebuah air pancut di Ronda, selatan Sepanyol, ketika gelombang haba pertama musim panas. Gelombang haba rasmi pertama musim panas di Sepanyol bermula pada hari ini dan dijangka berterusan sekurang-kurangnya sehingga 24 Jun 2026. Foto AFP

PARIS: Sebahagian besar negara di Eropah bersiap sedia berdepan gelombang haba yang sudah pun berada pada tahap membimbangkan dan dijangka bertambah buruk dalam beberapa hari akan datang, dengan beberapa negara mengambil langkah khas bagi mengurangkan kesannya.

Perancis merekodkan kematian berkaitan cuaca panas melampau pada hujung minggu lalu, manakala seorang penyelidik terkemuka menegaskan bahawa perubahan iklim yang didorong oleh aktiviti manusia menjadi antara faktor utama gelombang haba yang memecahkan rekod kebelakangan ini.

Di Perancis, sebanyak 49 daripada 96 jabatan di tanah besar negara itu diletakkan di bawah amaran cuaca merah pada Isnin, meningkat daripada 35 jabatan pada hujung minggu.

Pihak berkuasa turut mengumumkan penutupan 845 sekolah pada Isnin, manakala kira-kira 1,800 lagi sekolah dibenarkan menamatkan sesi persekolahan lebih awal daripada biasa.

Pada Ahad, beberapa bandar membatalkan festival muzik tahunan mereka, manakala kerajaan mengharamkan pengambilan alkohol di tempat awam atas faktor kesihatan dan ketenteraman awam di kawasan yang berada di bawah amaran cuaca merah.

Beberapa kawasan di Perancis merekodkan suhu melebihi 40 darjah Celsius, keadaan yang dianggap luar biasa bagi bulan Jun. Di wilayah Gironde di barat daya negara itu, pihak berkuasa tempatan memaklumkan kematian tiga individu berusia antara 80 hingga 95 tahun dipercayai sebahagiannya berpunca daripada cuaca panas melampau.

Peramal cuaca Perancis berkata gelombang haba kali ini berpotensi menjadi seteruk kejadian pada Ogos 2003 yang meragut hampir 15,000 nyawa di negara itu.

Gelombang haba lebih awal dan lebih ekstrem

Perancis dan Belgium turut mengumumkan pengurangan perkhidmatan kereta api. Di Perancis, langkah itu melibatkan terutamanya laluan komuter di sekitar Paris.

Syarikat kereta api nasional Belgium, SNCB, memaklumkan beberapa perkhidmatan pada waktu puncak bagi Isnin dan Selasa dibatalkan bagi mengurangkan risiko kerosakan teknikal yang boleh mengganggu operasi rangkaian rel.

SEORANG wanita menyejukkan diri di bawah semburan kabus (mist sprayer) ketika menghadiri festival muzik jalanan tahunan ‘Fête de la Musique’ dalam keadaan gelombang haba di Bordeaux, barat daya Perancis. Foto AFP

Ketua Peramalan Institut Meteorologi Diraja Belgium (IRM), David Dehenauw, memberi amaran bahawa negara itu dijangka merekodkan suhu tertinggi dalam sejarah pada minggu ini.

Timbalan Menteri Ekologi Perancis, Mathieu Lefevre, berkata gelombang haba kali ini adalah “amat ekstrem dan berlaku lebih awal daripada kebiasaan”.

Pada Mei lalu, beberapa negara Eropah turut melaporkan suhu tertinggi pernah direkodkan bagi tempoh berkenaan.

Penyelidik kanan Pusat Sains Atmosfera Nasional, Universiti Reading di England, Akshay Deoras, berkata perubahan iklim akibat aktiviti manusia jelas menjadi punca utama peningkatan suhu yang melampau.

“Perubahan iklim yang didorong manusia telah menyediakan asas kepada kejadian ini dengan meningkatkan kandungan haba dalam atmosfera, sekali gus menjadikan suhu ekstrem jauh lebih teruk berbanding pada masa lalu,” katanya.

Di Sepanyol, agensi meteorologi Aemet pada Ahad memberi amaran suhu “amat tinggi” bagi musim ini, sama ada pada waktu siang mahupun malam, sehingga Rabu.

Suhu dijangka mencecah 44 darjah Celsius di beberapa kawasan.

“Walaupun suhu dijangka menurun pada Khamis, keadaan panas masih kekal pada tahap yang tinggi,” menurut agensi itu.

Di Madrid, pihak berkuasa membatalkan acara tayangan awam menggunakan skrin gergasi bagi meraikan kemenangan Sepanyol ke atas Arab Saudi dalam Piala Dunia susulan cuaca panas melampau.

Rekod suhu Jun di UK dijangka dipecahkan

Di United Kingdom (UK), Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Meteorologi Diraja, Liz Bentley, menjangkakan rekod suhu tertinggi bulan Jun di negara itu akan dipecahkan dengan ketara, selepas perkara sama berlaku pada Mei lalu.

“Minggu ini akan menyaksikan gelombang haba yang belum pernah berlaku sebelum ini dengan suhu berkemungkinan mencecah antara 38 hingga 39 darjah Celsius.

“Rekod suhu tertinggi bulan Jun ketika ini ialah 35.6 darjah Celsius.

“Ini bermakna UK akan merekodkan dua bulan berturut-turut, iaitu Mei dan Jun, dengan suhu tertinggi yang melebihi rekod sedia ada lebih daripada dua darjah Celsius,” katanya. — AFP

Continue Reading

Previous: Enam terkorban dalam nahas pesawat tentera Bolivia
Next: PM Jepun ikrar tamatkan cukai penggunaan ke atas makanan selepas 2 tahun

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.