
LAWAS: Semua Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) perlu menerima hakikat bahawa mereka merupakan penjawat awam sebaik sahaja menerima watikah pelantikan daripada kerajaan.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, berkata KMKK yang masih berkhidmat tertakluk kepada peraturan dan garis panduan perkhidmatan awam yang ditetapkan kerajaan.
“Kita mahu KMKK terus memastikan mereka mempunyai integriti yang tinggi agar sentiasa dihormati masyarakat. Mereka juga perlu mengemukakan permohonan secara rasmi sekiranya ingin keluar daerah bagi apa jua urusan.
“Selepas mendapat kelulusan, barulah KMKK boleh bergerak ke luar daerah. Tujuannya adalah untuk memastikan pergerakan mereka direkodkan dan sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini, pihak kerajaan dapat memberikan bantuan yang sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada mesyuarat KMKK Lun Bawang Siri 2/2026 yang diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Lawas, hari ini.
Dalam pada itu, Henry turut menggesa KMKK supaya terus proaktif memainkan peranan sebagai agen perpaduan masyarakat di peringkat akar umbi, selain membantu menjelaskan dasar-dasar kerajaan negeri kepada rakyat.
Beliau berkata, KMKK juga perlu memastikan setiap projek pembangunan yang dilaksanakan di kawasan masing-masing berjalan lancar dan memberi manfaat kepada penduduk setempat.
“Banyak isu di peringkat akar umbi sebenarnya boleh ditangani terus oleh KMKK tanpa perlu menunggu tindakan daripada wakil rakyat.
“Sepanjang menjalankan tugas, kita mesti ikhlas dan telus dalam setiap tindakan. Saya bersyukur kerana setakat ini pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan KMKK di Lawas, khususnya dalam kalangan masyarakat Lun Bawang,” katanya lagi.
Sementara itu, Awangku Jinal Abedin turut mengingatkan KMKK Lun Bawang agar terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat tanpa mengabaikan nilai integriti.
Beliau berkata, suara rakyat di peringkat akar umbi perlu disampaikan secara berhemah supaya dapat diketengahkan kepada pihak yang berkaitan untuk tindakan lanjut.
“Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari sentiasa mengambil berat terhadap isu dan keperluan rakyat di peringkat akar umbi.
“Kita mahu masyarakat bersama-sama memainkan peranan dalam membangunkan Sarawak dalam pelbagai aspek termasuk pendidikan, kesihatan dan kebajikan, selain mengutamakan kepentingan Sarawak dalam setiap tindakan,” katanya.
Pada mesyuarat tersebut, pelbagai isu yang dibangkitkan oleh para peserta telah mendapat maklum balas serta penjelasan secara langsung daripada Henry Sum, Awangku Jinal Abedin dan Ladin.
Turut hadir Setiausaha Politik Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa; Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok; serta Temenggong Davis Parag Udan.
Oleh Adeng Edrus