SIMANGGANG, 23 Oktober: Sebanyak 12 notis kesalahan dikeluarkan kepada premis makanan menerusi Operasi Premis Bersih Bil. 05/2026 yang dilaksanakan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman semalam.
Operasi penguatkuasaan itu dijalankan di beberapa medan selera dan restoran sekitar Sri Aman bagi memastikan tahap kebersihan premis serta amalan pengendalian makanan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Menurut kenyataan Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman, sebanyak 16 premis makanan diperiksa sepanjang operasi berkenaan, melibatkan tiga premis kedai makan dan minum serta 13 gerai makanan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 11 notis kesalahan dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 (PPKM 2009), manakala satu lagi notis dikeluarkan di bawah Akta 852.
Operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak kesihatan untuk meningkatkan tahap kebersihan premis makanan, selain memastikan pengusaha dan pengendali makanan mematuhi keperluan undang-undang yang berkuat kuasa
Kebersihan premis dan amalan pengendalian makanan yang baik amat penting bagi mengurangkan risiko pencemaran makanan serta melindungi kesihatan pengguna.
Sehubungan itu, semua pengusaha dan pengendali makanan diseru supaya sentiasa mengutamakan kebersihan diri, memakai pakaian perlindungan yang sesuai seperti kasut bertutup dan penutup kepala, serta mematuhi semua peraturan kebersihan makanan yang ditetapkan.
Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman turut merakamkan penghargaan kepada semua anggota dan pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan operasi tersebut.
Premis bersih, makanan selamat, pengguna terpelihara kekal menjadi prinsip utama dalam memastikan keselamatan makanan dan kesejahteraan masyarakat.
Oleh Adi Safarman




