
LAWAS: Kumpulan Senario masih berbisa apabila berjaya menarik puluhan ribu peminat ke acara Festival Ombak dan Rentak Tarian 2026 serta Regata Perahu Naga Lawas Ke-2 2026 di Tebingan Sungai Lawas, malam tadi.
Kesesakan mula berlaku seawal 6.00 petang apabila peminat dari Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Brunei mula memenuhi kawasan khemah utama.
Kehadiran orang ramai memuncak menjelang 8.00 malam sebelum kemunculan kumpulan legenda komedi Senario yang dianggotai Azlee, Lan Pet Pet, Apek, Yassin dan Wahid.

Persembahan lawak dan nyanyian selama lebih sejam berjaya menghidupkan suasana, di samping mengimbau kenangan peminat setia kumpulan tersebut.
Senario terus kekal sebagai kumpulan penghibur yang mampu mencuit hati pelbagai lapisan masyarakat, daripada kanak-kanak hingga golongan dewasa dan warga emas.

Turut hadir memeriahkan persembahan pentas hiburan tersebut, Setiausaha Politik Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, serta Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok.
Oleh Adeng Edrus