Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Eksklusif: “Kita yang perlu arah AI” – pesanan pensyarah Unimas tentang teknologi dalam teater
  • HIBURAN

Eksklusif: “Kita yang perlu arah AI” – pesanan pensyarah Unimas tentang teknologi dalam teater

Utusan Sarawak 4 hours ago
QAWIEM Hamizan, pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) ketika ditemui Utusan Sarawak selepas pementasan projek teater Spirit Beyond Silence di Panggung Eksperimen, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK), semalam. Foto Nadya Victoria 

KOTA SAMARAHAN: “Jangan biar AI yang arah kita. Kita yang perlu arah AI,” kata pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Qawiem Hamizan, ketika mengulas penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam seni persembahan.

Dalam ruang pendidikan seni persembahan, penggunaan kecerdasan buatan (AI) kini menjadi sebahagian daripada proses pembelajaran pelajar, khususnya dalam penghasilan elemen audio dan muzik pementasan.

Bagi Qawiem, AI tidak dilihat sebagai ancaman mutlak kepada seni, tetapi sebagai alat bantu yang perlu dibimbing penggunaannya terutama dalam kalangan pelajar.

Menurut beliau, cabaran utama bukan pada teknologi itu sendiri, tetapi pada cara ia digunakan dalam proses pembelajaran kreatif.

Pada peringkat awal, beliau mengakui pernah berhati-hati dengan penggunaan AI dalam seni kerana bimbang ia boleh melemahkan daya cipta pelajar.

LATAR LED yang digunakan sepanjang pementasan bagi membentuk suasana visual dan memperkukuh penceritaan setiap babak. Foto Nadya Victoria 

Namun dalam konteks latihan produksi, beliau berdepan realiti bahawa pelajar teater perlu menghasilkan muzik dan audio sendiri, sedangkan mereka bukan berlatar belakang muzik.

“Pelajar saya ini pelajar teater. Jadi bila nak buat muzik, memang ada cabaran. Sebelum ini kita guna karya orang, tetapi itu ada isu hak cipta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Sarawak selepas pementasan projek teater Spirit Beyond Silence di Panggung Eksperimen, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) semalam.

Sehubungan itu, penggunaan AI dibenarkan sebagai sebahagian daripada proses kreatif, tetapi dengan pemantauan ketat bagi memastikan pelajar masih melalui proses berfikir dan mencipta.

“Saya minta mereka tunjukkan prompt atau arahan supaya saya tahu proses mereka, bukan sekadar ambil hasil siap,” katanya.

Bagi beliau, dalam pendidikan seni, proses lebih penting daripada hasil akhir kerana ia membentuk cara pelajar berfikir sebagai seorang pengkarya.

Dalam masa sama, beliau tidak menolak penggunaan AI dalam seni moden, tetapi menekankan keseimbangan antara teknologi dan kreativiti manusia.

ANTARA visual pada latar LED yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pementasan tersebut. Foto Adele Rissa 

“AI ini bagus kalau kita pantau. Jangan sampai kita yang dipantau oleh AI,” tegasnya.

Dalam pada itu, Resonansi turut merupakan sebahagian daripada projek Spirit Beyond Silence, atau “suara melangkaui keheningan”, sebuah inisiatif Teater dalam Pendidikan (TIE) yang menghimpunkan beberapa produksi lain termasuk Rumah Tumpang arahan Azri Ali dan Di Sebalik Pintu Papan arahan Madzlan Abet.

Kesemua naskhah ini dikembangkan dalam ekosistem pementasan yang sama, termasuk penggunaan elemen teknikal seperti latar LED yang dikongsi dalam pendekatan visual antara pengarah-pengarah terlibat.

Menurut Qawiem, situasi itu mewujudkan satu bentuk “rentak visual” bersama yang memerlukan setiap pengarah menyesuaikan interpretasi kreatif masing-masing dalam ruang teknikal yang sama.

Walaupun bekerja dalam kerangka produksi yang dikongsi, beliau menegaskan setiap karya tetap membawa pendekatan dan sudut pandang tersendiri dalam menyampaikan isu yang diangkat.

Beliau menambah, penilaian akhir turut dibuat bagi memastikan hasil kerja pelajar tidak kehilangan sentuhan manusia dalam proses penghasilan karya.

“AI boleh bantu, tetapi kreativiti manusia tetap kena jadi asas,” ujarnya.

Penonton hari ini, katanya, juga semakin peka dan mampu mengenal pasti apabila sesuatu karya terlalu bergantung kepada teknologi tanpa identiti kreatif yang jelas.

Oleh Adele Rissa & Nadya Victoria

Continue Reading

Previous: Khadijah Ibrahim hargai peranan media bantu bina kerjaya seni
Next: Eksklusif: Naskah ‘Resonansi’ cabar budaya berdiam diri dalam isu keganasan rumah tangga

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.