
TORONTO, Kanada: Jerman melangkah ke fasa kalah mati Piala Dunia buat kali pertama sejak 2014 selepas mencatat kemenangan dramatik 2-1 ke atas Ivory Coast sebentar tadi.
Pemain gantian, Deniz Undav, muncul wira apabila menjaringkan dua gol, termasuk gol kemenangan pada minit keempat masa kecederaan, sekali gus mencetuskan sorakan gemuruh daripada kira-kira 43,000 penyokong yang majoritinya memihak kepada Jerman di Toronto.
Jerman gagal melepasi peringkat kumpulan sejak menjuarai kejohanan itu di Brazil pada 2014, manakala ketua jurulatih, Julian Nagelsmann, berdepan tekanan besar untuk mengakhiri kemarau tersebut.
Ivory Coast terlebih dahulu mendahului menerusi jaringan Franck Kessie pada minit ke-30.
Kessie menyempurnakan peluang dari jarak dekat selepas gerakan cemerlang pemain muda sensasi Ivory Coast, Yan Diomande, yang kini menjadi buruan beberapa kelab ternama Eropah termasuk Liverpool.
Jerman menyangka mereka telah menemui jaringan sebanyak dua kali pada babak pertama.

Sepakan penjuru Nathaniel Brown pada minit ke-21 berjaya disudahkan oleh Aleksandar Pavlovic ke dalam gawang, namun pengadil dari Paraguay, Juan Gabriel Benitez, segera membatalkan gol itu selepas mendapati Pavlovic mengasari penjaga gol Ivory Coast, Yahia Fofana.
Kemudian pada minit ke-38, penyerang Jerman dan bintang Arsenal, Kai Havertz, sekali lagi meletakkan bola ke dalam gawang, tetapi jaringan itu tidak dikira susulan kekasaran dilakukan pemain Bayern Munich, Jamal Musiala.
Memasuki babak kedua, Jerman menggandakan asakan tanpa henti.
Pertahanan kukuh Ivory Coast berjaya bertahan sehingga minit ke-68 sebelum akhirnya ditembusi.
Undav, yang beraksi bersama VfB Stuttgart, menyamakan kedudukan menerusi voli hasil hantaran silang Nadiem Amiri.
Gol keduanya pula mencetuskan kegembiraan luar biasa dalam kalangan Nagelsmann dan penyokong Jerman apabila pasukan itu akhirnya menamatkan rentetan kekecewaan pada dua edisi Piala Dunia terdahulu.
“Kami menunjukkan mentaliti juara dan semangat berpasukan — tepat seperti yang diperlukan untuk berjaya dalam sesuatu kejohanan,” kata pertahanan Jerman, Jonathan Tah, kepada MagentaTV.

“Kami tidak pernah berputus asa dan terus berjuang walau apa pun yang berlaku. Pemain yang masuk dari bangku simpanan membawa tenaga baharu. Deniz wajar diberikan pujian istimewa, dia memang cemerlang.
Ivory Coast masih belum pernah mara ke pusingan seterusnya dalam sejarah penyertaan mereka di Piala Dunia, namun masih berpeluang layak sekiranya menewaskan pasukan debutan, Curacao, dalam aksi terakhir peringkat kumpulan.— AFP